KOTA SAMARAHAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menetapkan 28 inisiatif strategik di bawah tujuh kluster tahun ini bagi memastikan setiap dasar, program dan usaha pembangunan desa memberi impak kepada rakyat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata pelaksanaan inisiatif itu merangkumi pelbagai agensi termasuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Giatmara Sdn. Bhd. (Giatmara), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dengan tumpuan untuk mewujudkan lebih banyak peluang, meningkatkan pendapatan serta memastikan pembangunan luar bandar benar-benar dirasai masyarakat.
“Matlamat kita tetap sama, iaitu mahu lebih banyak peluang diwujudkan, pendapatan rakyat ditingkatkan dan pembangunan luar bandar benar-benar dapat dirasai oleh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (Gema@KKDW) Sarawak 2026, di sini, hari ini.
Dalam sektor getah, katanya, Sarawak mempunyai hampir 98,000 pekebun kecil Risda dan menjadi penyumbang terbesar Program Tanam Semula Getah Risda 2026 dengan keluasan 1,116.78 hektar atau 28 peratus daripada keseluruhan pelaksanaan di negara ini.
Beliau berkata, sebanyak 183 tan metrik getah dibeli di Sarawak menerusi inisiatif Pembeli Getah Utama setakat 31 Julai lalu, dengan Samarahan menyumbang 61.10 tan metrik, iaitu jumlah kedua tertinggi di negeri ini selepas Betong sebanyak 66.22 tan metrik.

Dalam pembangunan kemahiran pula, Rubiah berkata, 31 Giatmara di Sarawak telah melahirkan kira-kira 26,000 lepasan berkemahiran, manakala kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Mara mencapai 99.2 peratus dengan sokongan lebih 500 kerjasama industri.
Bagi sektor keusahawanan, seramai 1,156 usahawan Sarawak menerima manfaat daripada sokongan Mara bernilai sekitar RM33 juta sepanjang 2025, sekali gus menjana RM53.4 juta nilai jualan dan mewujudkan lebih 1,045 peluang pekerjaan.
Rubiah turut memaklumkan bahawa Sarawak bakal mempunyai Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) pertama di Kota Samarahan susulan peningkatan permohonan dalam kalangan anak Sarawak daripada kurang 500 sebelum ini kepada lebih 1,800 pada 2025.
Menurutnya, kehadiran KPTM itu akan menambah pilihan pendidikan serta memperkukuh ekosistem Kota Samarahan sebagai bandar ilmu, dengan tumpuan kepada bidang yang mendapat permintaan tinggi termasuk Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), Perakaunan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
Sementara itu, beliau berkata, Gema atau Gerakan Massa Masyarakat Desa merupakan pendekatan KKDW untuk membawa kerajaan lebih dekat kepada rakyat dengan menghimpunkan pelbagai perkhidmatan, peluang dan maklumat, sekali gus memastikan program yang dilaksanakan benar-benar sampai dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Oleh Norman B




