

KLINIK Kesihatan (KK) Tabuan Jaya bernilai RM24 juta.
KUCHING: Klinik Kesihatan (KK) Tabuan Jaya bernilai RM24 juta dijangka siap pada Oktober 2025.
Klinik ini mampu memberikan perkhidmatan kepada antara 800 hingga 1,000 pesakit setiap hari, meliputi kawasan Tabuan Jaya, Samarahan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), dan Stutong.
Projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 menerusi Rolling Plan 1 ini dianugerahkan kepada kontraktor pada Disember 2021 selepas melalui tiga kali proses tender.
Ia sepatutnya siap pada Jun 2024 namun tertangguh berikutan keperluan tambahan daripada Jabatan Bomba dan kini dijangka siap sepenuhnya Oktober tahun depan.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata KK Tabuan Jaya merupakan klinik kesihatan Type 2 kedua di Sarawak selepas KK Petra Jaya.
“KK Petra Jaya direka bentuk dan dibina secara tempatan manakala KK Tabuan Jaya menggunakan pelan pra-lulus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pada masa akan datang, kita berharap pembinaan KK Type 2 di Sarawak menggunakan model KK Petra Jaya kerana lebih sesuai dengan keperluan negeri ini.

“Hal ini juga menunjukkan keperluan autonomi kesihatan yang lebih besar untuk Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Klinik tersebut akan menempatkan seramai 148 kakitangan termasuk 28 doktor, seorang pakar perubatan keluarga serta kakitangan pergigian.
Dr Sim berharap KKM menempatkan jumlah kakitangan mencukupi agar fasiliti itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Ketika ini, Sarawak mempunyai 4,275 katil hospital dan memerlukan tambahan 1,925 katil lagi.
Bilangan doktor pula seramai 4,614 orang sedangkan keperluan sebenar ialah 7,263 orang.
Hospital dan klinik kesihatan daif di seluruh negeri juga memerlukan peruntukan sebanyak RM17 bilion bagi kerja-kerja naik taraf.
Beliau turut menegaskan cabaran utama yang bakal dihadapi apabila klinik itu beroperasi ialah kekurangan tempat letak kereta.
Hanya 100 petak disediakan sedangkan kemudahan itu mampu menerima sehingga 1,000 pesakit setiap hari selain 148 kakitangan yang bertugas.