“KITA beroleh kemenangan yang ketiga”.
Itu antara dialog popular dalam filem Nujum Pak Belalang, sebuah filem Melayu berunsur komedi pada 1959 yang diarah dan dilakonkan oleh Tan Sri P.Ramlee.
Mereka mempertaruhkan negara apabila Sultan Masai (Shariff Dol) mengutarakan pandangannya untuk beradu akal antara kedua-dua ahli nujum negara dan untuk itu, baginda sedia mempertaruhkan negaranya.
Mereka turut menandatangani perjanjian – pertaruhan negara berasaskan empat soalan diajukan.
Hakikatnya Pak Belalang yang tiada kepintaran akal, berjaya memenangkan negaranya – negara Beringin Rendang menewaskan Sultan Masai.
Itu filem berbaur cerita dongeng epik yang berlatar belakangkan budaya masyarakat Melayu lama.
Tetapi itu tiada kena mengena dengan kejayaan Sarawak mengembalikan hak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)… cuma dialog bab ‘kita beroleh kemenangan yang ketiga’ dalam filem itu sahaja dipetik di sini.
Hakikatnya, Sarawak sudah mencapai kejayaan yang kelapan dalam tuntutan MA63 itu.
Pada minggu pertama 2023, kita sudah disaji dengan berita gembira melihat perkembangan memberangsangkan dalam usaha mengembalikan hak yang terhakis seperti termaktub dalam MA63.
Ini berikutan persetujuan Kerajaan Perpaduan mengenai tiga lagi perkara dalam MA63 iaitu:
- Meluluskan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
- Mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182.
- Kerajaan Persekutuan pada dasarnya bersetuju memberi kuasa autonomi dalam sektor pendidikan dan kesihatan di Sarawak.
Untuk perkara nombor satu di atas, kita perlu menunggu keputusan lanjut untuk memuktamadkan kadar peruntukan khas bagi Sabah dan Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Ia dijangka diputuskan pada mesyuarat pertama Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuching bulan depan.
Mesyuarat itu bakal dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah.
FORMULA PEMBERIAN KHAS
Berapa jumlah pemberian khas tahunan itu? Putrajaya ada formula dan Sarawak pun ada formula sendiri.
Kita berharap jumlahnya nanti pada kadar munasabah yang boleh diterima kedua-dua pihak iaitu Kerajaan Sarawak, Sabah dan Kerajaan Persekutuan.
Untuk perkara nombor dua di atas, Kerajaan Pusat meletakkan siling iaitu membenarkan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah melaksanakan sendiri mana-mana projek Persekutuan bernilai bawah RM50 juta.
Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, projek yang berada dalam lingkungan kos tersebut merangkumi sekolah, klinik, balai bomba dan projek-projek luar bandar lain dapat dijalankan oleh JKR negeri Sarawak.
Katanya, lebih kurang 70 peratus projek persekutuan kini boleh dikendalikan oleh Kerajaan Sarawak sendiri tanpa merujuk kepada Kerajaan Persekutuan.
Ini boleh mempercepatkan lagi pembangunan terutama di kawasan luar bandar di negeri ini.
Bagaimanapun, hanya JKR Sarawak disebut sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182 itu.
Tidak pasti lagi sama ada dua lagi agensi akan dimasukkan iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran
Sarawak (JPSS) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB).
Fadillah baru-baru ini juga mengesahkan perkara ketiga di atas iaitu Kerajaan Persekutuan pada dasarnya bersetuju memberi kuasa autonomi dalam sektor pendidikan dan kesihatan di Sarawak.
Walaupun butiran lanjut belum diumumkan, inilah kali pertama Putrajaya memberi ‘lampu hijau’ sekali gus membuka lembaran baharu untuk Sarawak.
Kuasa autonomi itu bermakna, Sarawak sendiri antaranya akan menentukan hala tuju.
Misalnya, kekurangan guru sekolah, Sarawak sendiri menentukan siapa boleh mengisinya, berbanding
selama ini ditentukan oleh pihak Kementerian Pendidikan di Putrajaya.
Begitu juga sektor kesihatan.
Berikut adalah perkara dalam MA63 yang sudah dipersetujui sebelum ini, khususnya di bawah pentadbiran Kerajaan Persekuan terdahulu termasuk tiga perkara dalam MA63 yang sudah berjaya diselesaikan berkaitan sumber minyak dan gas.
- Isu wakil Sarawak dan Sabah dalam LHDN adalah antara yang termaktub dalam MA63.
- Persetujuan rundingan di antara Kerajaan Sarawak dan Petronas melalui Perjanjian Penyelesaian Secara Komersial (CSA).
- Pengiktirafan hak Sarawak untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum;
- Pengiktirafan hak Sarawak untuk mengawal selia pengagihan gas di Sarawak.
- Pindaan kepada Perkara 1(2), 160(2) dan 161A (6) dan (7) kepada Perlembagaan Persekutuan, yang sudah diluluskan Dewan Rakyat, berkuatkuasa mulai 11 Februari 2022.
Berikutan penyelesaian bab kelapan di atas, meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan dianggap tidak mempunyai status yang sama dengan negeri komponen lain dalam Persekutuan Tanah Melayu.
SST DAN HASIL NEGERI
Dengan penyelesaian nombor 5, 6 dan 7 di atas, Sarawak sudah meraih pendapatan hasil kutipan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum dan gas iaitu sebanyak RM8.52 bilion sejak diperkenalkan 1 Januari 2019 dan jumlahnya dijangka terus naik dalam tahun ini.
Mengenai nomber 4 di atas, Kabinet persekutuan pada mesyuarat 30 September 2022 meluluskan cadangan untuk meminda Akta LHDN 1995 bagi membolehkan wakil Kerajaan Sarawak dan Sabah menduduki keanggotaan lembaga pengarahnya.
Fadillah baru-baru ini berkata, perkara berkaitan LHDN ini perlu melalui Dewan Rakyat.
Ini bermakna akan ada pembentangan Rang Undang-Undang (RUU).
“Apabila itu diluluskan sahaja, barulah kita boleh melantik Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak ke dalam Lembaga Pengarah LHDN. Setakat ini, peruntukan dalam Akta LHDN itu hanya membenarkan wakil yang bukan kakitangan Kerajaan Negeri untuk menganggotai lembaga pengarahnya. Jadi sebab itu ia (undang-undang) perlu dipinda. Perkara itu akan dibangkitkan pada sidang Parlimen akan datang,” katanya.
Penyertaan Sarawak dan Sabah dalam LHDN penting bagi membolehkan kedua-dua negeri ini tahu berapa hasil pendapatan sebenar negara bagi memudahkan agihan hasil itu, seperti dinyatakan dalam MA63 berkaitan geran khas tahunan untuk kedua-dua negeri.
Bagaimanapun, ada beberapa lagi isu dalam MA63 yang belum mendapat khabar dari Putrajaya
iaitu:
Isu pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak. (Sebelum ini, ada Mahkamah Borneo dan Mahkamah Malaya di mana peguam dari luar Sarawak termasuk dari Semenanjung tidak dibenarkan menjalankan amalan guaman di negeri ini.
Sarawak mahu mengekalkan peraturan itu dan juga dari aspek mengiktiraf Mahkamah Borneo.
Sarawak juga mahu pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman dirujuk kepada Yang Dipertua Negeri (TYT) terlebih dahulu kerana itu adalah hak TYT Sarawak. Ia bagi menyimpan kuasa tertentu untuk menimbang calon yang dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman).
Cadangan pertambahan bilangan satu pertiga atau 35 peratus daripada 222 Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak di Parlimen.
Diharapkan perkara yang belum selesai itu turut dibangkitkan dalam mesyuarat pertama Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuching bulan depan.
*Penulis adalah Penasihat Eksekutif Editorial Utusan Sarawak