Oleh: Johari A. Julaihi
TERSEBUTLAH kisah, nun di sebuah taman sari. Terlihat kelopak-kelopak yang disusun indah. Kelopak yang membentuk bunga ialah susunan helaian-helaian kertas berbeza warna, berkilauan. Bahagian stigmanya ialah pelepah pena yang berkerlip, dikelilingi cepu debunga aksara yang berayun-ayun ditiup semilir. Daun-daunnya pula ialah helaian kertas-kertas putih. Di udara, di sana-sini, berterbangan kapal terbang daun yang telah dilipat. Sungguh! Sungguh mengasyikkan! Di situ, tinggallah kelompok rama-rama dan beluncas.
Pada salah satu daun, kelihatan seekor beluncas yang sedang asyik mencatat sesuatu pada daun. Tidak semena-mena, tumpuannya terganggu apabila kedengaran suara pekikan di atas salah sehelai daun. Beluncas itu tersentak. Ingin mengetahui perkara yang terjadi, ia menghampiri tempat itu.
Geliang-geliut.
Di situ, ia melihat seekor beluncas. Wajahnya cemberut. Unchas, sahabatnya.
“Mengapa engkau memekik, Unchas? Apakah yang sudah berlaku?” soalnya seraya merapat.
Unchas menelan suara. Amarah masih menggelodak di tungku.
“Kenapa?”
Unchas mendengus. “Bencilah aku, Elun! Engkau tahu? Daun-daun yang aku kirimkan, langsung tidak disusun menjadi kelopak bunga. Satu pun tak menjadi!”
“Alahai, sebab itu sahajakah engkau memekik!”
Unchas mencerlung ke arahnya. Bengkak perutnya mendengar kata-kata si Elun itu.
“Mengapa engkau harus kecewa, Unchas? Engkau cubalah kirimkan lagi daun-daun yang lain. Lambat-laun, pasti ada daun-daun engkau yang tersisip menjadi kelopak.”
“Ah, bosan aku! Berapa banyak yang aku perlu kirimkan supaya menjadi kelopak?” Unchas mengambil daun-daun yang sudah tercatat sesuatu lalu mencampak ke atas lantai. Berselerak daun-daun itu.
Kata-kata Elun tersangkut di kerongkong tika melihat ulah temannya itu lalu menggeleng. Dia mengambil beberapa helai daun lalu membacanya satu per satu.
“Ke pelantar mana yang engkau kirimkan daun-daun ini?” soal Elun.
“Kabinet Puisi dan Rumah Sastera,” balas Unchas.
Elun menghentikan pembacaannya lalu memandang Unchas.
“Unchas. Engkau sendiri tahu, bukan? Kedua-dua pelantar ini mereka mempunyai standard yang tinggi dalam membuat penilaian sebelum menyusun daun-daun menjadi kelopak. Berdasarkan catatan engkau pada daun-daun ini. Sudah tentu Kabinet Puisi dan Rumah Sastera tidak akan menerimanya.”
Pandangan Unchas menusuk mata Elun lalu membentak, “Apakah masalah dengan catatan aku?”
“Nukilan engkau ini mempunyai banyak kesalahan tatabahasa, ejaan dan tunggang-langgang jalan ceritanya!”
Elun mengambil sehelai daun; menunjuk ke arah Unchas lalu berkata, “Madah pujangga ini pula agak lemah, klise dan tidak segar. Engkau tidak membuat simbolik pun pada madah pujangga ini. Terlalu polos. Jika daun-daun ini dihantar kepada pelantar seperti Kabinet Puisi, sudah pasti mereka tak akan terima sama sekali. Tidak salah sekiranya aku mengatakan yang nukilan engkau ini, merapu bagi mereka.”
“Ah, engkau hanya mengarut! Apanya yang merapu! Engkau itu yang tak pandai menilai. Nukilan aku tiada masalah! Masalah itu adalah berpunca daripada rama-rama yang menyusun daun-daun itu. Mereka itu pilih bulu! Rasis!” Unchas meninggikan suaranya.
Elun menghela nafas lalu menghembusnya. Mengkal hatinya dek ulah Unchas itu. Itulah Unchas yang dia kenali sejak dulu. Tidak pernah ingin mengakui kesilapan sendiri. Dia sahaja yang betul. Oleh sebab perangai beginilah, seringkali terjadinya bunga tahi dalam pergaulan mereka, menyebabkan ramai teman-teman mereka menghindar daripada Unchas.
“Bukannya masalah rama-rama yang menyusun daun-daun itu pilih bulu atau rasis, masalah itu berpunca daripada kita sendiri, Unchas.”
Unchas mendengus.
“Ah, usah engkau nak berpihak kepada mereka, Elun! Engkau lihat saja di pelantar Kabinet Puisi dan Rumah Sastera, asyik-asyik nama yang sama. Asyik-asyik beluncas dan rama-rama yang ada nama sahaja yang mereka pilih. Asyik-asyik daun-daun mereka sahaja yang disusun menjadi kelopak bunga. Tidakkah engkau berasa cemburu?”
“Mengapa aku harus berasa cemburu, Unchas? Sudah sememangnya madah-madah pujangga mereka itu bagus belaka. Layaklah jika daun-daun mereka itu menjadi kelopak. Kita sebagai beluncas yang masih belum lagi bersalin kulit, tidak salah menjadikan kelopak bunga mereka sebagai rujukan untuk memperbaiki mutu nukilan kita lalu dibawa ke peringkat bersalin kulit yang seterusnya. Kita ini, bak kata pepatah, cekur jerangau masih ada lagi di ubun-ubun.”
“Masih mentah atau pun tidak, rama-rama di dalam pelantar tersebut harus memberikan peluang yang sama rata. Bukan hanya memberi peluang pada rama-rama dan beluncas-beluncas yang sudah beberapa kali bersalin kulit. Ini tidak adil!”
Elun meneguk kata-kata, beberapa detik.
“Bukannya mereka tidak adil, Unchas. Engkau seharusnya tahu kehendak serta gaya pelantar-pelantar yang engkau kirimkan. Mereka mempunyai corak daun yang mereka sendiri jadikan sebagai identiti pelantar mereka. Justeru, kita sebagai beluncas dan rama-rama haruslah mengikut gaya mereka. Bukannya mereka itu yang mengikut gaya kita!”
“Ah, aku ada identiti aku sendiri! Mengapa perlu mengikut gaya mereka?” Bentak Unchas seraya mendengus.
“Ya ampun, Unchas … Unchas” Elun hanya menggeleng kepala. Kebisuan menculik kata-kata dari suara mereka.
Elun berkata, “Aku sarankan, alangkah moleknya kalau engkau hantar daun-daun ini kepada pelantar-pelantar yang lain dulu, Unchas. Dalam taman sari ini, banyak pelantar-pelantar untuk madah pujangga yang engkau boleh kirimkan. Mereka itu, tidak kurang hebat juga, Unchas.”
“Pelantar mana yang engkau katakan tidak kurang hebatnya itu selain daripada Kabinet Puisi dan Rumah Sastera?” soal si Unchas. Namun, Elun dapat mengesan konotasi negatif pada bicara tersebut.
“Semua pelantar dalam taman sari kita ini, hebat-hebat, Unchas. Bukan dua pelantar itu sahaja. Contohnya, ada pelantar yang sememangnya khusus untuk para beluncas yang baru menetas dan belajar menukang kata-kata seperti Cipta Beluncas. Kita boleh menghantar daun-daun kita ke situ untuk penilaian oleh rama-rama yang berpengalaman. Pasti ada daun-daun kita disusun menjadi kelopak. Mereka memberi peluang sama rata kepada beluncas peringkat pertama.”
“Bukan itu sahaja, pelantar-pelantar yang dikelolakan oleh persatuan-persatuan yang terdapat di dalam taman sari ini pun bagus untuk dikirimkan. Sekali gus juga untuk memperkenalkan diri. Engkau boleh cuba untuk hantar ke sana. Atau pun, engkau boleh menyertai antologi-antologi. Kita kirimkan daun lalu rama-rama atau beluncas yang menjadi penyelenggara akan menyusun daun-daun tersebut untuk menjadi kelopak.”
“Aku tidak ingin menyertai antologi-antologi picisan itu, Elun. Bahkan, kita perlu keluarkan kupang untuk membayar yuran penyertaan. Tidak mahulah aku!”
“Haruslah perlu keluarkan sejumlah kupang, Unchas. Itu untuk kos mereka menyusun daun-daun kita itu. Itu semuanya memerlukan kos.”
“Malaslah aku. Mengapa untuk menyusun daun-daun itu kepada kelopak bunga, perlukan duit? Membazir sahaja!”
Elun mengeluh lalu menggeleng kepala.
“Engkau tahu, Elun. Aku pernah mengirim setiap sehelai daun aku ke akhbar-akhbar tetapi tidak dijadikan kelopak. Membuang masa aku sahaja. Rama-rama di akhbar itu juga, pilih bulu.”
“Engkau cuma menghantar sehelai daun sahaja, kemudian engkau mengatakan yang mereka tidak menjadikan daun engkau itu sebagai kelopak? Satu sahaja tidak memadai, Unchas. Usahlah engkau putus asa. Engkau kirimkan daun-daun yang lain.”
“Elun, daun-daun aku itu, bagus catatannya. Mengapa aku mahu hantar yang lain? Rama-rama yang bekerja di akhbar itu, tidak pandai menilai. Jemu aku!”
“Unchas … Unchas. Kita sendiri yang mencatat, sudah pastilah kita mengatakan daun-daun kita itu bagus. Tetapi, tidak semestinya bagus pada pemikiran rama-rama yang menyusun daun-daun itu. Mereka itu berpengalaman.”
Unchas memutarkan matanya tika mendengar bicara Elun. Ada-ada sahaja si Elun menyangkal kata-katanya.
“Beginilah, Unchas. Moleklah kita belajar dulu. Kebelakangan ini, aku lihat banyak rama-rama yang mengadakan bengkel untuk para beluncas di dalam taman sari ini. Bukan sahaja rama-rama tersebut merupakan figura yang berpengalaman dan terkenal, bahkan bengkel yang mereka kelolakan, murah betul bayarannya. Ada juga yang agak mahal, tetapi berbaloi jika kita ikut serta. Marilah! Aku pun ada ikut serta bengkel yang dijalankan oleh beberapa ekor rama-rama itu.”
“Berbengkel?” Mata Unchas membuntang lalu ketawa. “Elun, aku ini semasa peringkat telur sudah ada ijazah di dalam bidang Pengajian Bahasa Melayu dan Penulisan Kreatif. Engkau mahu aku ikut bengkel-bengkel murahan itu? Mengarut!”
“Bagaimana mengikuti bengkel-bengkel itu dikatakan mengarut, Unchas? Itu salah satu proses pembelajaran. Meskipun engkau ada ijazah, tidak salah untuk kita ambil ilmu daripada rama-rama yang mengelolakan bengkel tersebut. Apa-apa yang diajarkan olehnya, kita boleh jadikan sebagai sumber serta ilmu untuk memantapkan daun kita. Betul, bukan? Engkau mahu, bukan melihat daun-daun engkau menjadi kelopak bunga? Inilah peluangnya. Marilah!”
Unchas berdekah-dekah ketawa, menimbulkan rasa hairan pada Elun.
“Apakah yang melucukan engkau?”
“Kata-kata engkau itulah yang melucukan aku. Sudah pasti aku mahu daun-daun aku menjadi kelopak bunga tetapi bukannya mengikuti bengkel-bengkel itu.”
“Mengapa tidak?” soal Elun.
“Bengkel-bengkel itu hanya untuk kalangan beluncas yang pandir! Bukan aku.”
Elun tersentak dengan kata-kata yang diungkapkan oleh Unchas. “Astaga, Unchas! Tidakkah engkau sedar kata-kata engkau ini berbaur pongah! Sikap engkau yang tidak berpucuk di atas enau ini, sungguh tidak melambangkan kecerdikan engkau yang kononnya ada ijazah itu! Tidak salah aku katakan yang engkau ini otak telur, bukan otak minyak!” Bengkak perut si Elun tatkala mendengar kata-kata yang bertepung angkuh itu.
Unchas mencerlung ke arah Elun yang turut merenungnya. Otak telur, bukan otak minyak merupakan pepatah yang bermaksud perihal orang yang bodoh. Elun berpaling lalu meninggalkan Unchas. Sungguh! Elun sungguh meluat!
*****
Dia membaling pandangannya ke luar. Malam itu, Unchas menghinap-hinap apa-apa yang dikatakan oleh Elun kepadanya pagi tadi.
‘Bagaimana aku mahu daun-daun aku itu menjadi kelopak?’
Di kejauhan, tiba-tiba angin yang berhembus menggugurkan satu kelopak lalu membawanya bersiar-siar sehingga tiba di kawasan keberadaan Unchas. Kelopak itu gugur di kakinya. Unchas menatap kelopak tersebut. Sejurus itu, dia tersentak. Benar apa-apa yang dikata oleh Elun!
Dia tahu perkara yang patut dia buat!
*****
Unchas tekun mencatat sesuatu di atas daun. Selesai satu, dia mengambil sehelai daun lagi. Satu per satu, daun-daun yang selesai dicatat, dilipat-lipat menjadi kapal terbang lalu dilayangkan ke luar. Dia tersenyum.
Setelah beberapa kali, hari melipat hari serta sepurnama menunggu, daun-daun yang dikirimkan, akhirnya menjadi kelopak. Unchas tersenyum saat melihat daun-daunnya disusun menjadi kelopak bunga, bersama-sama dengan yang lain. Ini menambahkan semangatnya.
Unchas tersenyum lebar, namanya kini gah di dalam taman sari itu. Ramai beluncas dan rama-rama memuji. Dia mendabik dada.
Pagi itu, ketika Unchas asyik mencatat sesuatu pada daun, terdengar seseorang memanggil namanya di luar. Unchas menghentikan perbuatannya lalu bergerak ke jendela. Pandangannya menjaring beberapa ekor rama-rama di luar. Dia kaget!
*****
Dua purnama, tertinggal di belakang detik. Elun mendongak. Bersyukur. Meskipun lama, akhirnya, daun-daunnya diterima juga; disusun menjadi sebahagian daripada kelopak-kelopak bunga yang berkerlip. Segala usaha yang dilaburkan, menjadi kepingan-kepingan hasil yang bernilai. Kini, dia menjadi rama-rama. Berterbangan di taman sari itu. Dikenali warga.
Di kejauhan, dia melihat sesuatu yang tergantung -Unchas.
Unchas kekal menjadi pupa. Dek ketamakan mengejar nama, degil, bodoh sombong, dan tidak ingin berusaha lebih, dia memplagiat hasil kelopak bunga rama-rama yang lain. Natijahnya, dia berkelubung di dalam pupa. Entah, berapa lama dia akan begitu. Namanya sudah buruk. Ramai yang tidak mempercayainya lagi. Hasratnya ingin menjadi rama-rama … ,
Mereput dan kian mereput. Silir bersiul-siulan di dalam taman sari.
Tup!
Pupa Unchas gugur ke tanah.