Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Kisah inspirasi Dr. Serit Banyan, dari kampung ke pentas dunia akademik
  • INSPIRASI

Kisah inspirasi Dr. Serit Banyan, dari kampung ke pentas dunia akademik

Utusan Sarawak 14 hours ago
SOKONGAN KELUARGA… Dr. Serit Banyan bergambar bersama keluarga tersayang yang selalu menyokong beliau.

KOTA SAMARAHAN: Kejayaan bukan datang bergolek — inilah kisah inspirasi Dr. Serit Banyan, anak jati Nanga Linsom, Ulu Layar, Betong, yang membuktikan bahawa latar kehidupan desa bukan halangan untuk meraih puncak kejayaan akademik.

Meskipun tidak dibesarkan dalam kemewahan atau berada di landasan mudah, Dr. Serit membina kejayaan melalui usaha gigih, disiplin tinggi dan kecintaan mendalam terhadap ilmu.

Bermula dari kehidupan kampung yang serba sederhana, beliau akhirnya menjejak kaki ke dewan konvokesyen berprestij Universiti Taylor’s , dan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang Pendidikan, satu pencapaian yang bukan sahaja membanggakan dirinya, malah seluruh komuniti Iban.

Kisah hidupnya menjadi cerminan bahawa dengan iltizam dan kesungguhan, tiada apa yang mustahil untuk dicapai walaupun akar kehidupan berputik di pelosok pedalaman.

DR. Serit Banyan.

Perjalanan ilmunya bermula pada 2003 dengan pengajian Diploma Perhutanan di Universiti Putra Malaysia (UPM), sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, dan seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana Sains dalam Komunikasi Manusia.

Beliau tidak berhenti di situ, sebaliknya meneruskan usaha menimba ilmu dengan melengkapkan Sijil Pascasiswazah dalam Pengajaran dan Pembelajaran, sebelum menamatkan pengajian Doktor Falsafah (Ph.D.) pada 2024.

Setiap fasa perjalanan kehidupan beliau menjadi saksi betapa teguhnya semangat seorang anak kampung dalam usaha mengubah nasib diri serta bangsanya.

Bagi Dr. Serit, kejayaan ini bukan sekadar miliknya sendiri, tetapi satu amanah yang harus dikembalikan kepada masyarakat.

“Selepas menamatkan Ph.D., impian saya adalah untuk membantu komuniti, terutamanya di kampung halaman saya di Betong.

“Saya mahu terlibat dalam pembangunan belia, bekerjasama dengan NGO, persatuan pelajar, dan badan-badan tempatan untuk membuka peluang pendidikan kepada generasi muda,” tegasnya.

Kini, beliau aktif dalam Sekretariat Rukun Negara di Swinburne Sarawak dan sedang menubuhkan persatuan belia sendiri, dengan rancangan menganjurkan program khas untuk pelajar Tingkatan Lima di kawasan Parlimen Betong.

Beliau mahu sekurang-kurangnya seorang graduan terhasil dalam setiap keluarga serta meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pendidikan selepas SPM.

DR. Serit Banyan bersama isteri tersayang.

“Pendidikan bukan sekadar sijil, tetapi kunci membina masa depan dan martabat bangsa,” ujarnya penuh semangat.

Beliau menitipkan pesan bahawa kejayaan memerlukan arah tuju yang jelas, disiplin, dan kebijaksanaan mengurus masa.

 “Jangan bazirkan masa muda dengan perkara sia-sia. Universiti bukan sekadar tempat belajar, tetapi ruang membina karakter, kemahiran insaniah, dan keyakinan diri,” nasihatnya.

Di sebalik kejayaannya, Dr. Serit mengakui kejayaan terhasil daripada sokongan tidak berbelah bahagi keluarga, isteri, ibu bapa, mertua, guru-guru, sahabat handai, dan komuniti rumah panjang yang sentiasa memberi dorongan dan semangat.

“Kejayaan ini adalah milik kita semua,” katanya dengan rendah hati.

Lima tahun dari sekarang, beliau membayangkan dirinya sebagai ahli akademik yang tekun mendidik dan aktivis masyarakat yang aktif menggerakkan pembangunan belia.

“Dua perkara akan sentiasa dekat di hati saya ialah pendidikan dan pembangunan masyarakat,” tekadnya.

Dari tanah kelahiran yang jauh di pedalaman, Dr. Serit kini berdiri sebagai bukti hidup bahawa impian yang digenggam erat tidak mengenal batas.

Perjuangannya menjadi inspirasi bahawa anak kampung juga mampu melangkah ke pentas dunia, asalkan hati tidak pernah goyah dan semangat sentiasa menyala.

Oleh Norman B

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Mahasiswa UKM semarakkan semangat bakti di Marudi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.