BINTULU: Sebuah kipas berdiri dan sebahagian kecil server terbakar dalam kejadian kebakaran melibatkan perkakas elektrik di Bangunan Pejabat Menara Port, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong, Rary Binjie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 2.53 pagi sebelum sepasukan anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi sekitar 3.00 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah kipas berdiri serta sebahagian kecil server.
“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, didapati benar berlaku kebakaran melibatkan perkakas elektrik iaitu kipas berdiri dan sebahagian kecil server seperti yang dilaporkan pemanggil.

“Tiada kerja-kerja pemadaman dijalankan kerana api telah dipadamkan oleh pihak Bomba Bintulu Port,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rary berkata, pasukan bomba kemudian menjalankan pemantauan bagi memastikan keadaan benar-benar terkawal.
Katanya, selepas keadaan disahkan selamat, pasukan bomba menamatkan operasi pada 3.07 pagi dan kembali ke BBP Kidurong.
Operasi melibatkan empat anggota bersama sebuah jentera Scania WHK 9413.
Oleh Faizah Muzidi





