




SIAPA sangka rindu terhadap makanan kampung halaman mendorong Napsiah Radzuan, 35, anak jati Sarawak yang kini menetap di Perlis dengan membuka sebuah kedai makanan Sarawak bagi mengubat kerinduan terhadap rasa autentik dari Bumi Kenyalang.
Bermula secara kecil-kecilan dengan mengambil tempahan dalam talian, Napsiah akhirnya membuka kedai fizikal yang dikenali sebagai Kiosk Kamek yang kini beroperasi di Taman Lencongan Dua, Kangar.
Kiosk Kamek yang telah beroperasi selama tiga tahun merupakan kedai makanan Sarawak secara fizikal pertama di Perlis yang menawarkan hidangan asli Sarawak seperti mi kolok dan laksa Sarawak.
Menurut Napsiah, sukar untuk mendapatkan makanan Sarawak di Perlis, menyebabkan dia terpaksa memasak sendiri setiap kali teringin menikmatinya dan dari situ, lahirnya idea untuk berkongsi rasa nostalgia tersebut dengan orang lain.
“Dulu kalau saya teringin makan mi kolok atau laksa Sarawak, saya kena buat sendiri di rumah.
“Bila saya muat naik gambar makanan yang saya masak, ramai kawan yang mula bertanya dan nak cuba. Dari situ, saya terfikir, kenapa tidak buka kedai?” katanya.
Sokongan suaminya, Ahmad Khairol, 38, yang juga seorang tukang masak, memberi kekuatan kepadanya untuk mengembangkan perniagaan tersebut.
Kini, Kiosk Kamek bukan sahaja dikunjungi penduduk tempatan, malah menjadi tumpuan pelajar dan pekerja dari Sarawak yang menetap di utara Semenanjung.
“Bila makan di sini, rasa macam balik ke Kuching,” kata seorang pelanggan berasal dari Sarawak.
Tambah Napsiah, mengusahakan makanan autentik Sarawak ke negeri lain bukan sesuatu yang mudah kerana kos bahan mentah yang tinggi menjadi cabaran utama.
“Pes laksa Sarawak, misalnya, saya perlu buat sendiri sebab kalau nak beli yang siap, kos penghantarannya sangat mahal.
“Saya juga buat sendiri wantan supaya dapat kawal kos dan jual dengan harga yang berpatutan,” ujarnya.
Menyedari keunikan makanan Sarawak masih belum begitu dikenali di Perlis, Napsiah berharap kedainya dapat memperkenalkan lebih banyak hidangan dari negeri asalnya.
“Makanan bukan sekadar untuk mengisi perut, tetapi juga untuk menyatukan kita, tidak kira di mana kita berada.
“Saya mahu lebih ramai orang di sini kenal dan hargai keunikan rasa Sarawak.
“Dalam usaha memperluaskan lagi menu, Kiosk Kamek bakal memperkenalkan set Nasi Pengilan, hidangan makananan kenduri Sarawak, bakal dijual di bazar Ramadan yang akan datang,” jelasnya.
Bagi Napsiah, Kiosk Kamek bukan sekadar sebuah perniagaan tetapi juga ruang untuk berkongsi budaya dan membawa sedikit rasa kampung halaman ke tanah seberang.
Oleh MASRIN AFFIRAH