NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Sikap lebih mengutamakan bahasa asing dan memandang rendah keupayaan bahasa sendiri perlu dikikis daripada minda warganegara yang merdeka.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Abang Haliman Abang Julai berkata, setelah 65 tahun Sarawak merdeka membentuk Malaysia, sudah sewajarnya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara kita tidak perlu diperdebatkan lagi.
“Bahasa kebangsaan telah membuktikan peranannya sebagai bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Bahasa kebangsaan seharusnya dimartabatkan, digunakan dengan penuh kecintaan dalam komunikasi rasmi di sektor awam, juga di sektor swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Dekad Bahasa Kebangsaan, Dekad Membaca Kebangsaan dan Syarahan Perdana 2022 di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia, Safiee Ahmad berkata, pelbagai dasar telah diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia yang meliputi aspek berkaitan dengan bahasa, ekonomi, pendidikan, sosial, kebudayaan dan banyak lagi.
“Dalam kita melihat aspek bahasa sebagai ‘Jiwa Bangsa’, maka kita sebagai rakyat Malaysia sesungguhnya hendaklah berbangga dan bersyukur bahasa Melayu diangkat menjadi dasar negara, melalui ketetapan Dasar Bahasa Kebangsaan dan disokong juga oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan.
“Dalam Dasar Pendidikan, telah ditetapkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.
“Dengan penetapan dasar ini secara tidak langsung dapat menzahirkan jati diri dan citra kebangsaan dalam kalangan masyarakat, khususnya kita di Sarawak ini yang terdiri daripada pelbagai etnik, dan indahnya mempunyai keunikan bahasa sukuan masing-masing,” katanya.
Justeru, katanya, bahasa kebangsaan amat penting dalam mewujudkan perpaduan yang menjadi medium penyampaian atau komunikasi dalam kalangan masyarakat sehingga kini.
“Apabila kita mengutamakan bahasa kebangsaan, ini bukan bermakna kita menidakkan penggunaan bahasa-bahasa lain seperti bahasa Inggeris yang digunakan mengikut keperluan dan suasana.
“Namun yang penting, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan haruslah diutamakan sebagai bahasa negara,” katanya.
Bersempena dengan Syarahan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’, pihak DBP Cawangan Sarawak mengadakan majlis pelancaran ‘Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan’ Peringkat Negeri Sarawak.
Syarahan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ merupakan salah satu kegiatan dalam kempen Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK). Kempen ini bertujuan menyedarkan masyarakat peri pentingnya kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32).