Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • KIK PowerPioneers IPGKTAR raih pelbagai anugerah inovasi dan penyelidikan
  • PENDIDIKAN

KIK PowerPioneers IPGKTAR raih pelbagai anugerah inovasi dan penyelidikan

Utusan Sarawak 4 hours ago
KIK PowerPioneers dari IPGKTAR telah mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih kejayaan berganda dalam pelbagai pertandingan inovasi dan penyelidikan anjuran IPG sepanjang tahun ini.

SIMANGGANG: Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) PowerPioneers dari Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) terus mengharumkan nama institusi apabila mencipta rekod gemilang dengan meraih pelbagai anugerah berprestij dalam pertandingan inovasi dan penyelidikan sepanjang tahun ini.

Kumpulan yang diketuai Dr Candrawati Ibrahim itu turut mendapat sokongan penganjuran daripada Pusat Jalinan Masyarakat (UMCares), Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) serta Fakulti Pendidikan Universiti Malaya.

Menurut Candrawati, kejayaan besar tahun ini didorong oleh dua inovasi utama mereka iaitu PowerLegMax (PLM) dan Analisis Ujian Kekuatan Kaki Eksplosif (ELPA) yang menjadi penyumbang utama sehingga membolehkan mereka meraih pengiktirafan tertinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antara pencapaian utama termasuk dua Anugerah Platinum pada Konvensyen Suara Guru Malaysia, selain Anugerah Berlian dan tempat ketiga keseluruhan di PedaTed Zon Timur. 

Kumpulan itu turut membawa pulang Anugerah Emas dan tempat ketiga keseluruhan di PedaTed Zon Sabah, serta Anugerah Emas dan naib johan keseluruhan di PedaTed Zon Tengah.

Tidak terhenti di situ, mereka turut meraih Anugerah Emas dan tempat kedua keseluruhan pada Kolokium Penyelidikan dan Inovasi IPGKTAR 2025, Anugerah Emas di Persidangan Antarabangsa tentang Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan (iCERI 2025), serta Anugerah Platinum dan naib johan keseluruhan di peringkat antarabangsa melalui kedua-dua inovasi tersebut.

“Selain kejayaan pertandingan, kami juga diiktiraf sebagai wakil Kesatuan Guru Sarawak (STU) dalam Konvensyen Suara Guru Malaysia, sekali gus mengangkat peranan pensyarah Sarawak di pentas nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Candrawati berkata, pencapaian itu membuktikan kekuatan kolaborasi rentas jabatan dan institusi dalam memperkukuh budaya inovasi dalam kalangan warga pendidik.

“Inovasi PLM dan ELPA bukan sahaja projek pertandingan, tetapi lahir daripada keperluan sebenar dalam bidang pendidikan jasmani dan sains sukan untuk membantu meningkatkan prestasi murid dan atlet sekolah,” ujarnya.

Selain aktif menyertai pertandingan, kumpulan KIK PowerPioneers turut melaksanakan sesi perkongsian ilmu dan bengkel inovasi bersama STU dan beberapa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Sarawak.

Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Ibnu Khaldun (PPD Samarahan), SK Beladin (PPD Betong), SK Matang Jaya dan SK Matang (PPD Padawan), SK Rancangan Perumahan Rakyat (PPD Kuching) dan SK Saint Michael Mongkos (PPD Serian).

“Perkongsian ini membuka ruang lebih luas untuk memastikan inovasi PLM dan ELPA memberi manfaat langsung kepada guru serta murid di peringkat akar umbi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan berganda itu menjadi bukti bahawa program KIK adalah platform penting melahirkan guru berdaya cipta, berfikiran kritikal dan bersedia menghadapi cabaran pendidikan masa depan.

Kumpulan PowerPioneers turut dibarisi Ismail Dikoh, Dayang Arni Marstuty Abang Jaili, Salmi Lilek, TS Aniza Yusup, Rumy Aliza Rosdi, Hasbee Mohamed dan Alistair Edmund Gelau, yang terdiri daripada tenaga pengajar pelbagai jabatan serta rakan kolaboratif dari Sekolah Kebangsaan Rancangan Perumahan Rakyat, Kuching.

Kejayaan mereka diraikan pada Konvensyen Suara Guru Malaysia di Universiti Malaya pada 2 November lalu, menandakan satu lagi detik penting dalam usaha memperkasa inovasi pendidikan negara.

Oleh Adi Safarman

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Bengkel AI perkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman pelajar UPMS
Next: Peletakan jawatan tujuh guru dedah cabaran program Pengambilan Khas Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.