
KABONG: Penganjuran Maraton Pantai Antarabangsa Kabong (KIBTM) 2025 dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 16 September depan dengan acara kemuncaknya iaitu perlumbaan utama bakal berlangsung pada 14 September.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata setakat ini, sebanyak 18 buah negara telah mengesahkan penyertaan ke acara maraton pantai tersebut yang bertaraf antarabangsa.
“Negara-negara yang terlibat termasuklah Australia, Belgium, Brunei Darussalam, Kanada, England, Perancia, India, Indonesia, Ireland, Jepun, Kenya, Malaysia, Belanda, Portugal, Philippines, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat KIBTM 2025 yang diadakan di Pusat Khidmat ADUN Kabong, hari ini.

Chee Kadir menegaskan bahawa KIBTM merupakan acara maraton pantai pertama seumpamanya dianjurkan di Sarawak serta merupakan penganjuran bertaraf antarabangsa kedua yang diadakan di Kabong.
“Penganjuran ini dilihat sebagai salah satu usaha memperkenalkan Kabong ke persada dunia melalui pelancongan sukan. Kita mahu dunia melihat keunikan pantai dan alam semula jadi Kabong,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, penganjuran KIBTM 2025 diharapkan dapat merancakkan sektor pelancongan domestik dan antarabangsa di samping menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi masyarakat setempat.
Mesyuarat tersebut turut membincangkan persiapan terkini serta agihan tugas kepada semua agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran penganjuran acara berprestij itu.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Pegawai Daerah Kabong, Tahir Sharee, wakil ketua-ketua jabatan serta Duta KIBTM 2025, Mohamad Affindi Nudin.
Oleh Adi Safarman