KUCHING: Penganjuran Festival Busking Antarabangsa Kuching (KIBF) 2024 berupaya merancakkan lagi sektor pelancongan Sarawak.
Pengerusi Penganjur KIBF 2024, Gerald Goh berkata, festival ini diilhamkan oleh acara busking tahunan di Tamworth Australia yang mampu menarik lebih ratusan ribu pengunjung.
“Dengan ada kepelbagaian budaya di Kuching, kami mampu mencipta sesuatu yang istimewa dengan menyumbang kepada sektor pelancongan Sarawak.
“KIBF telah dilahirkan sebagai sebuah platform untuk mengetengahkan kekayaan budaya, warisan, persembahan, kreativiti dan bakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada malam kemuncak Festival Busking Antarabangsa Kuching (KIBF) 2024 di sini, malam tadi.
Gerald berharap dapat meningkatkan bilangan stesen busking di sekitar kawasan Tebingan Kuching dan Carpenter Street pada tahun depan.
“Kami juga sedang mempertimbangkan lebih banyak kerjasama dengan artis antarabangsa untuk memastikan festival ini sentiasa segar, global dan menarik,” katanya.
Dalam pada itu, KIBF 2024 menyaksikan pasukan Los Pintos dinobatkan sebagai juara selepas dua lagu yang pernah dipopularkan oleh lagenda muzik calypso Amerika Syarikat, Harry Belafonte iaitu ‘Jamaica Farewell’ dan ‘The Banana Boat Song’.
Kemenangan Los Pintos itu sekali gus menerima hadiah wang tunai berjumlah RM2,000 serta trofi.
Naib juara pula disandang kumpulan Friendz Busker yang membawa pulang wang tunai RM1,500, manakala CR Buskers menduduki tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai RM800.
Untuk rekod, seramai 400 peserta telah mengambil bahagian dalam KIBF kali ini.
Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dr. Aleana Chai Chin Fern mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pengarah KIBF, Mike Lim.
Oleh SHAHRUL QAIZAT dan MOHD NEENATUL AIZAL
Gambar
KENANGAN… Gerald Goh merakam gambar kenangan bersama yang lain selepas malam kemuncak Festival Busking Antarabangsa Kuching (KIBF) 2024 di Kuching, malam tadi.