IPOH: Pemilik bangunan dan premis di Perak diminta supaya memasang Jalur Gemilang di tempat masing-masing sebagai menterjemahkan semangat patriotik cintakan negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata pemasangan Jalur Gemilang di setiap kawasan kediaman dan premis perniagaan sepanjang Bulan Kebangsaan perlu dilakukan masyarakat sebagai tanda berterima kasih kepada negara yang sentiasa aman dan harmoni apatah lagi ketika negara masih berdepan dengan penularan pandemik Covid -19.
“Tidak perlu pun ada bendera Jalur Gemilang yang besar, cukup hanya bersaiz kecil dan kita gantungkan bendera di setiap rumah dan premis, ia sudah cukup baik. Kita memahami mungkin ada di antara masyarakat yang agak ketinggalan mengenai sambutan Bulan Kebangsaan ini, jadi mereka belum lagi mengibarkan Jalur Gemilang.
“Saya juga berharap pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut sama dengan kerajaan negeri memainkan peranan berkempen kepada masyarakat supaya Jalur Gemilang dapat dikibarkan di setiap kediaman dan premis,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan Program Mengibar Jalur Gemilang di Pangsapuri Kinta Heights, yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin dan disertai kira-kira 350 penduduk setempat mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.– Bernama