Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Khidmat penting ‘doktor terbang’ di pedalaman
  • KOLUMNIS

Khidmat penting ‘doktor terbang’ di pedalaman

Utusan Sarawak 3 days ago

MUNGKIN ramai tidak mengenali apa itu Perkhidmatan Doktor Udara. Ini kerana ia amat asing dalam kalangan generasi hari ini. Apakah sebenarnya Perkhidmatan Doktor Udara ini?

Secara ringkasnya Doktor Udara merupakan salah satu perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh pihak kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan ke kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak. Hari ini perkhidmatan ini diperluaskan lagi di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia. 

Mengapa perkhidmatan ini diperkenalkan? Jawapannya adalah keluasan kedua-dua negeri yang besar, penduduknya tinggal berselerak dan kedua-dua negeri ini juga tidak mempunyai jaringan pengangkutan darat yang baik. 

KETIADAAN kemudahan kesihatan yang sempurna di kawasan pedalaman di kedua-dua negeri ini menjadi pendorong utama dalam mengerakkan Perkhidmatan Doktor Udara.

Hal ini ditambah lagi dengan ketiadaan kemudahan kesihatan yang sempurna di kawasan pedalaman di kedua-dua negeri ini menjadi pendorong utama dalam mengerakkan perkhidmatan ini.

Atas sebab itu, beberapa inisiatif telah digerakkan oleh kerajaan. Sejak penubuhan Malaysia, dispensari statik dan dispensari bergerak telah diwujudkan di kedua-dua negeri ini.

Namun demikian, kesungguhan kerajaan negeri dan pusat untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penduduk pedalaman memerlukan usaha yang lebih mantap dan berkesan, khususnya dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan di kedua-dua negeri ini.

Matlamat

Bilakah perkhidmatan Doktor Udara ini bermula? Di Sarawak perkhidmatan ini dimulakan pada 25 September 1973. Ia diperluaskan ke Sabah pada 1975. 

Pada peringkat awal di Sarawak perkhidmatan ini dibantu oleh Tentera Udara Diraja Malaysia. Terdapat tiga matlamat utama diperkenalkan perkhidmatan ini.

Pertama, ialah untuk membawa perubatan moden kepada penduduk yang tinggal di kawasan terpencil. Matlamat ini bertujuan memberikan peluang kepada penduduk untuk meningkatkan tahap kesihatan mereka, yang secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf sosial serta produktiviti ekonomi mereka.

Usaha memberikan perkhidmatan ini kepada penduduk di kawasan terpencil di Sarawak juga mempunyai matlamat untuk membanteras kegiatan komunis yang semakin berleluasa di kawasan pedalaman Sarawak pada 1970-an.

Dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan ke luar bandar dan kawasan terpencil, kerajaan menunjukkan keprihatinannya terhadap kebajikan rakyat. Hal ini membantu mengelakkan penduduk daripada terpengaruh dengan unsur-unsur subversif.

Matlamat terakhir untuk mengurangkan kesenjangan dalam aspek perubatan dan kesihatan antara kawasan bandar dan pedalaman terutama kawasan paling terpencil, lokasi yang sukar dihubungi dengan perkhidmatan pengangkutan sedia ada. 

Pada 1970-an memang terdapat perbezaan ketara dalam perkhidmatan kesihatan antara kawasan bandar dan luar bandar yang terpencil. Hal ini menyebabkan ramai daripada mereka gagal mendapat perkhidmatan moden yang boleh memantapkan tahap kesihatan mereka.

Peringkat awal

Pada peringkat awal iaitu pada 1973, perkhidmatan ini dilaksanakan secara rintis di Sarawak. Kejayaan projek rintis ini membawa kepada operasi diteruskan dengan beberapa fasa. 

KAKITANGAN perubatan dan pegawai perubatan menaiki helikopter untuk menjalankan tugas di kawasan pedalaman.

Fasa pertama  yang bermula pada Oktober 1973. Operasi ini dilakukan di 40 lokasi melibatkan 31,893 orang. Pada fasa satu ini Tentera Udara Diraja Malaysia menyediakan helikopter untuk mengangkut kakitangan perubatan dan pegawai perubatan ke kawasan pedalaman.

Selepas operasi awal ini pihak kerajaan mengambil masa yang agak lama untuk mengerakkan semula operasi fasa kedua. Fasa kedua pula digerakkan dari Januari 1975 hingga Mac 1975.  Operasi ini pula digerakkan di 66 lokasi dengan melibatkan 69,854 orang.  Dalam operasi ini dua helikopter disewa untuk pengkalan mereka di Kuching dan Miri.

Perluasan

Selepas operasi fasa dua ini, operasi seterusnya digerakkan dari April 1975 hingga Oktober 1975.  Fasa ketiga ini pula menjangkaui 121 kawasan yang mempunyai penduduk seramai 202,516 orang.

Perkembangan perkhidmatan doktor udara ini berkembang dari semasa ke semasa sejak awal permulaan perkhidmatannya.

Usaha mempergiatkan dan meluaskan perkhidmatan ini berterusan pada fasa keempatnya yang melibatkan jangka masa November 1975 hingga Disember 1975.  Dalam tempoh tersebut kawasan dilawati bertambah ke 153 lokasi dengan populasi penduduk adalah 221,730 orang. 

Perkhidmatan Doktor Udara ini diteruskan lagi ke tahun-tahun berikutnya, dan menambahkan lagi kawasan dilawati dan ramai lagi yang mendapat khidmat perubatan yang dibawa oleh pasukan perubatan ini.

Keberkesanan

Sejak dilancarkan program Perkhidmatan Doktor Udara ini sehingga 1976 seramai 20,036 orang hingga 66,021 orang telah mendapat perkhidmatan tersebut.  Perkhidmatan Doktor Udara ini bukan sahaja melibatkan rawatan rutin, tetapi juga merangkumi penghantaran 349 orang pesakit dari kawasan pedalaman yang terpencil ke hospital-hospital di bahagian untuk menerima rawatan lanjut.

Usaha untuk membawa pesakit-pesakit untuk rawatan lanjut ini digerakkan oleh Perkhidmatan Medical Evacuation (MEDEVAC). Kawasan-kawasan terpencil ini turut dilengkapi dengan perkhidmatan panggilan radio bagi membolehkan pihak perubatan, seperti MEDEVAC, dihubungi untuk merawat pesakit serta membawa mereka ke hospital atau klinik berdekatan.

Perkhidmatan MEDEVAC ini bukan sahaja penting untuk membawa pesakit dari kawasan pedalaman Sarawak ke pusat bandar, malah turut digunakan untuk memindahkan pesakit dari satu hospital ke hospital lain.

Hal ini berlaku kerana kemudahan di setiap hospital adalah berbeza, dan terdapat pesakit yang memerlukan rawatan khusus di hospital yang mempunyai kelengkapan perubatan yang sesuai. Oleh itu, MEDEVAC digunakan bagi mengangkut pesakit yang memerlukan perkhidmatan tersebut.

Penerusan

Walaupun negara kita telah menunjuk ke arah pelbagai kemajuan termasuk dalam bidang perubatan dan kesihatan tetapi perkhidmatan doktor udara ini terus gerakkan sehingga ke hari ini. 

Namun demikian usaha memberi Perkhidmatan Doktor Udara kepada penduduk ini semakin berkurangan berbanding masa awal ia digerakkan. 

Menjelang Jun 2015, perkhidmatan ini dianggotai oleh sembilan pasukan yang beroperasi di Kuching, Simanggang, Sibu, Miri, Limbang, Sarikei, Kapit, Kota Samarahan dan Bintulu. Operasi ini melibatkan 131 kampung dan memberi manfaat kepada 28,211 penduduk. 

Jumlah ini menampakkan berkurangannya kawasan dilawati yang sekali gus menunjukkan bahawa akses pengangkutan darat semakin baik di Sarawak. 

Begitulah prihatinnya kerajaan kita untuk membantu semua masyarakat tanpa mengira bandar mahupun luar bandar dalam aspek kesihatan. 

Pelbagai cara digunakan oleh kerajaan untuk memberi khidmat terbaik untuk masyarakat bagi kesejahteraan mereka.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Fahami prinsip sains ‘kapal terbang kertas’
Next: Dinamika dan realiti politik semasa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.