Khidmat masyarakat selama 50 tahun bukti komitmen Kelab Lions Sarikei

Facebook
WhatsApp
DATO' Sri Huang Tiong Sii menerima ceNderamata daripada Kelab Lions Sarikei. Foto Pusat Khidmat Repok

SARIKEI: Lima dekad khidmat Kelab Lions Sarikei membuktikan bahawa usaha individu yang berganding bahu dengan matlamat sama mampu membawa perubahan besar kepada masyarakat, khususnya golongan memerlukan.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, Kelab Lions Sarikei berkembang daripada sebuah kumpulan kecil individu berdedikasi kepada pertubuhan yang konsisten melaksanakan khidmat kemasyarakatan sepanjang 50 tahun lalu.

“Sepanjang 50 tahun yang lalu, Kelab Lions Sarikei telah berkembang daripada sebuah kumpulan kecil individu berdedikasi yang bersatu dengan satu kepercayaan mudah, iaitu insan biasa yang bekerjasama mampu membawa perubahan luar biasa.

“Kepercayaan itulah yang membawa kelab ini mengharungi lima dekad khidmat, daripada menyediakan makanan kepada mereka yang memerlukan, membantu golongan sakit, mendidik generasi muda hinggalah mendampingi keluarga yang memerlukan bantuan,” katanya.

DATO’ Sri Huang Tiong Sii bergambar bersama Ahli Lembaga Pengarah Kelab Lions Sarikei. Foto Pusat Khidmat Repok

Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Kelab Lions Sarikei Ke-50, baru-baru ini.

Katanya, pelantikan barisan Ahli Lembaga Pengarah bagi penggal 2026-2027 bukan sahaja satu penghormatan, malah membawa tanggungjawab untuk meneruskan legasi perkhidmatan yang telah dibina kelab tersebut.

“Kepada barisan Ahli Lembaga Pengarah yang baharu, kepercayaan yang diberikan kepada anda hari ini merupakan satu penghormatan dan juga tanggungjawab.

“Daripada menjanjikan sesuatu yang besar, masyarakat Sarikei mengharapkan anda memimpin dengan keteguhan, hati yang terbuka dan tindakan yang konsisten,” katanya.

Tambahnya, kepimpinan baharu perlu berpegang kepada tiga nilai utama, iaitu keprihatinan terhadap masyarakat yang dibantu, komitmen untuk terus melaksanakan tanggungjawab walaupun berdepan kesukaran dan kecemerlangan dalam setiap tugas tanpa mengira besar atau kecil.

“Ketika anda memulakan penggal 2026-2027, berpeganglah kepada tiga nilai mudah, iaitu keprihatinan terhadap masyarakat yang kita bantu, komitmen untuk terus hadir walaupun tugas itu sukar dan kecemerlangan dalam setiap tanggungjawab, sama ada besar mahupun kecil.

“Nilai-nilai inilah yang membimbing Kelab Lions sepanjang 50 tahun lalu dan kini tiba giliran anda untuk meneruskannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas usaha membangunkan negeri menerusi kemajuan berterusan dalam bidang infrastruktur, pendidikan dan peluang ekonomi, selain membawa perpaduan dan kemajuan kepada masyarakat.

Sebagai sokongan terhadap usaha Kelab Lions Sarikei meneruskan program kemasyarakatan, Huang turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada kelab tersebut.

“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu memperkukuh program akan datang serta usaha mendekati dan membantu masyarakat,” katanya.

Jumlah keseluruhan sumbangan yang disalurkan ialah RM20,000, termasuk peruntukan RM10,000 yang diumumkan beliau kepada Kelab Lions Sarikei.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada barisan Ahli Lembaga Pengarah yang baharu dan berharap mereka dapat meneruskan semangat perkhidmatan yang menjadi asas kepada kelab tersebut sejak lima dekad lalu.

Oleh Earl Anek

MRA lancar tabung bantu mangsa banjir Nepal

KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) melancarkan Tabung Kemanusiaan Bencana Nepal, bagi menggerakkan bantuan kecemasan kepada masyarakat yang terjejas akibat