
KABONG: Khatam al-Quran bukanlah penamat kepada pembelajaran, sebaliknya merupakan permulaan kepada tanggungjawab besar untuk terus membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menegaskan, al-Quran perlu dijadikan panduan hidup utama dalam membentuk insan yang berakhlak mulia, berdisiplin serta bertanggungjawab, sejajar dengan tuntutan agama dan keperluan masyarakat masa kini.
Dalam ucapannya, Chee Kadir merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak sekolah khususnya barisan pentadbir, guru Pendidikan Islam, ustaz dan ustazah serta semua guru yang telah membimbing murid-murid dengan penuh kesabaran dan dedikasi sehingga berjaya menyempurnakan khatam al-Quran.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga atas sokongan berterusan dalam memastikan anak-anak dibekalkan dengan ilmu agama sebagai asas penting dalam pembentukan sahsiah dan jati diri.
Menurut beliau, penganjuran majlis khatam al-Quran bukan sahaja bertujuan meraikan kejayaan murid-murid, malah menjadi platform untuk memupuk kecintaan terhadap al-Quran serta menyemai nilai ukhuwah antara sekolah, keluarga dan masyarakat setempat.
“Program seumpama ini selaras dengan usaha melahirkan generasi Kabong yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia, sekali gus mampu menjadi contoh terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Khatam al-Quran Murid Tahun 6 Peringkat Sekolah Sesi 2025 yang berlangsung di Masjid As-Sabirin, Kabong, hari ini.

Majlis anjuran bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Kabong itu melibatkan seramai 98 peserta, terdiri daripada 97 murid Tahun 6 dari kedua-dua sekolah berkenaan serta seorang murid Tingkatan 1 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabong.
Penglibatan murid sekolah menengah disifatkan sebagai satu inisiatif baharu yang membanggakan kerana memperlihatkan kesinambungan amalan pembacaan al-Quran merentas peringkat persekolahan.
Majlis turut diserikan dengan Pertandingan Usungan yang melibatkan 12 penyertaan, menampilkan kreativiti murid-murid dengan sokongan ibu bapa serta komuniti setempat, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama dan penghargaan terhadap warisan budaya masyarakat Kabong.
Pertandingan tersebut menyaksikan Muhammad Naufal Zakwan Mohammad Asroy muncul johan, diikuti Shah Hazim Shazwan sebagai naib johan dan Shasha Liyana Helmi Nizam di tempat ketiga.
Majlis berakhir dengan penuh kesyukuran dan doa agar usaha murni ini terus diberkati serta menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi muda yang berpegang teguh kepada ajaran al-Quran.
Oleh Adi Safarman