
SIBU: Selepas lebih lapan tahun menerajui Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Profesor Emeritus Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid kini diberi tanggungjawab baharu untuk memperkukuh landskap pendidikan tinggi negeri ini.
Beliau bakal dilantik sebagai Pegawai Khas di Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dengan fokus utama memantau serta menyelaras institusi pengajian tinggi milik penuh Kerajaan Negeri Sarawak.
Khairuddin berkata, amanah tersebut diberikan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak, yang pada asalnya sekadar kunjungan penghargaan di penghujung tempoh perkhidmatannya.
“Pertemuan itu membuka ruang kepada tanggungjawab baharu apabila saya diminta untuk terus menyumbang dalam sektor pendidikan negeri.

“Peranan saya adalah membantu mengurus dan menyelaras universiti-universiti ini bersama Yayasan Sarawak selain memantau perkembangan pendidikan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Naib Canselor UTS kepada Profesor Ir Ts Dr Mohd Shahril Osman yang akan memangku jawatan tersebut mulai 1 April 2026.
Menurutnya, antara institusi yang akan terlibat dalam penyelarasan itu termasuk UTS, Swinburne University, Curtin University dan i-CATS University College.
Dalam perkembangan sama, Khairuddin mendedahkan usaha sedang dirancang untuk menubuhkan sebuah universiti baharu hasil kerjasama dengan Universiti Fudan dari China sebagai langkah memperkasa pendidikan tinggi Sarawak.
Mengimbas pencapaiannya di UTS, beliau berkata institusi itu berjaya dinaik taraf kepada universiti penuh pada 2020 selain mencatat peningkatan ketara jumlah pelajar daripada 1,700 kepada lebih 5,000 pelajar.
Katanya, UTS juga kini berjaya menarik kemasukan pelajar dari luar Sibu dengan 60 peratus daripada jumlah pelajar datang dari kawasan luar.
“Walaupun peratusan pelajar tempatan menurun, jumlah sebenar tetap meningkat sejajar pertambahan keseluruhan pelajar,” ujarnya.
Tambah beliau, sepanjang tempoh kepimpinannya, UTS turut memperluas jaringan kerjasama antarabangsa melibatkan institusi di Asia, Eropah, Amerika Syarikat, Kanada dan China.
“Saya berharap asas yang telah dibina akan terus menyokong pertumbuhan masa depan universiti ini.
“Pemimpin datang dan pergi, tetapi organisasi mesti kekal kukuh dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk rakan media atas sokongan sepanjang beliau menerajui UTS.
Oleh Tarani Lanting