
KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki muda negara, Kang Khai Xing telah melupakan episod kontroversi melibatkan tiga keputusan pengadil dalam aksi Masters Malaysia 2025 minggu lepas.
Pemain berusia 19 tahun itu memilih untuk tidak terus dibelenggu peristiwa itu yang menyaksikan dia dan pasangannya, Aaron Tai tewas 10-21, 26-24, 16-21 kepada pilihan ketujuh dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.
“Situasi dah lepas dan saya dah terima. Kecewa sehari sahaja, esoknya sudah okay. Mungkin pada kejohanan seterusnya kami akan bangkit lebih kuat,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.
Sabtu lepas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan telah mengemukakan aduan rasmi kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung keputusan pengadil yang dianggap kontroversi ketika aksi pusingan kedua Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Menurut BAM, tiga keputusan penting yang dibuat ketika kedudukan genting perlawanan antara juara beregu lelaki remaja dunia 2024 dan Kjaer-Sogaard itu telah memberi kesan besar kepada keputusan perlawanan sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tahap keadilan dalam pertandingan tersebut.
Dalam pada itu, Khai Xing mengakui dia dan Aaron ketika ini masih berusaha mengadaptasi corak latihan ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi.
“Keserasian dengan Aaron semakin baik namun perlu sesuaikan dengan corak permainan tiada pukulan angkat (bulut tangkis) dalam sesi latihan, kita harap dapat meningkatkan lagi permainan,” katanya.
Dalam pada itu, dia dan Aaron, yang menduduki ranking ke-53 dunia, mengakui masih berusaha menyesuaikan diri beraksi dalam suasana kejohanan peringkat tinggi termasuk ketika menentang pasangan yang ranking lebih baik.
Biarpun masih banyak yang perlu diperbaiki bagi meningkatkan prestasi, Khai Xing berharap agar dia dan Aaron mampu merangkul sekurang-kurangnya satu gelaran Jelajah Dunia pada tahun ini.
Pasangan itu kini menumpukan kepada persiapan beraksi pada tiga kejohanan akan datang iaitu Terbuka Macau 2025 (29 Julai hingga 3 Ogos), Terbuka Hong Kong 2025 (9 hingga 14 September) dan Terbuka Korea 2025 (23 hingga 28 September).– Bernama