Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Khadijah Ibrahim hargai peranan media bantu bina kerjaya seni
  • HIBURAN

Khadijah Ibrahim hargai peranan media bantu bina kerjaya seni

Utusan Sarawak 2 hours ago
PENYANYI veteran Datuk Khadijah Ibrahim atau mesra disapa “Ibu” ketika ditemui Bernama semasa sesi latihannya menjelang Majlis Kemuncak Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@ Arena Butterworth baru-baru ini. Hampir enam dekad mewarnai persada seni tanah air, Khadijah mengakui segala kejayaan, pengiktirafan diterimanya hari ini tidak mungkin sama tanpa peranan pengamal media yang setia meniti setiap fasa perjalanan seninya sejak era 1970-an lagi. Foto BERNAMA


BUTTERWORTH: Hampir enam dekad mewarnai persada seni tanah air, Datuk Khadijah Ibrahim mengakui segala kejayaan, pengiktirafan diterimanya hari ini tidak mungkin sama tanpa peranan pengamal media yang setia meniti setiap fasa perjalanan seninya sejak era 1970-an lagi.

Bagi penyanyi veteran yang mesra disapa ibu itu, wartawan bukan sekadar pencatat kisah kejayaan seseorang artis, sebaliknya menjadi saksi perjalanan hidup, tempat berkongsi cerita serta antara tunjang penting membantu membina nama dan reputasinya dalam industri hiburan.

Mengibaratkan wartawan sebagai sebahagian daripada ‘keluarga’, pelantun lagu Ku Pendam Sebuah Duka itu berkata hubungan antara wartawan dan artis pada suatu ketika dahulu cukup istimewa kerana dibina atas asas kepercayaan, rasa hormat yang melangkaui batas hubungan kerja semata-mata.

Menurut adik kepada penyanyi terkenal Allahyarham Latif Ibrahim itu, wartawan pada era berkenaan bukan sekadar melaporkan perkembangan kerjaya artis bahkan memahami kisah hidup mereka secara peribadi namun, tidak sesekali pun merosakkan kepercayaan yang terjalin bersama. 

“Hubungan wartawan dengan penyanyi pada waktu dulu bukan sekadar wartawan dan penyanyi, sebaliknya lebih kepada keluarga, sahabat dan kawan yang kadang-kadang menjadi tempat meluah segala rahsia hati.

“Mereka tahu banyak perkara tentang kehidupan kami tetapi mereka juga tahu menjaga batas dan kepercayaan yang diberikan. Sebab itu hubungan yang terjalin ketika itu sangat rapat dan ikhlas,” katanya kepada Bernama. 

Ditemui di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, di sini, anak kelahiran Melaka ini merupakan antara selebriti yang terlibat menyemarakkan persembahan majlis kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, hari ini. 

Sebagai artis yang membesar bersama sokongan dan liputan media sejak awal pembabitannya dalam industri hiburan, penyanyi berusia 66 tahun itu berkata suasana liputan yang positif dan saling menghormati tersebut membantu menaikkan nama artis tanpa menjejaskan emosi mereka dengan cerita-cerita kontroversi. 

Dalam mengimbau kembali kenangan lalu, Khadijah berkata antara perkara yang paling dirinduinya ialah saat wartawan dan artis sering mengembara bersama bagi menjayakan siri promosi album serta konsert di pelbagai destinasi.

“Dulu, kami sering travel bersama untuk konsert atau promosi album. Setiap kali ke destinasi seperti Singapura, Brunei serta Sabah dan Sarawak, syarikat rakaman akan memperuntukkan bajet untuk membawa wartawan dalam rombongan. Ketika itulah hubungan kami menjadi lebih rapat,” katanya sambil menambah situasi sedemikian kini sukar direalisasikan berikutan kekangan tajaan dan peruntukan.

Bagaimanapun, Khadijah yang turut mencipta nama dalam bidang lakonan menerusi filem seperti Kembara Seniman Jalanan dan Mr. Cinderella berkata landskap media hari ini jauh berbeza berbanding dengan era awal pembabitannya dalam industri seni.

Perkembangan pesat platform digital katanya telah mengubah cara berita hiburan disampaikan apabila kini kisah peribadi artis lebih menjadi tumpuan sebagai bahan sensasi untuk dipasarkan bagi meraih perhatian khalayak berbanding pencapaian seni dan karya mereka. 

“Kadang-kadang, ada pihak ambil mana-mana plot yang dia boleh ambil, dia tulis dan buat cerita sendiri… itu pada ibu (rasa) tak best (tidak suka) kerana boleh membuatkan sesuatu isu disalah tafsir peminat,” katanya.

Biarpun berdepan perubahan tersebut, Khadijah menegaskan peranan wartawan profesional masih lagi kekal relevan dan tidak boleh digantikan dengan teknologi kerana mereka berupaya menyampaikan maklumat secara lebih tepat, berimbang dan berwibawa.

Mengambil contoh sidang media, pelantun lagu Ku Gembira Disampingmu itu berkata kehadiran wartawan dalam sesi tersebut amat penting kerana membantu seseorang artis itu untuk menjelaskan sesuatu isu dengan lebih menyeluruh kepada masyarakat.

“Bila buat sidang media, kalau tak ada wartawan rasa tak lengkap. Ibu suka bila ramai wartawan hadir, terutama yang tanya soalan susah kerana mampu mencungkil lebih maklumat dan lebih mendalam,” katanya. 

Sehubungan itu, sempena HAWANA 2026 ini beliau berharap pengamal media terus mengekalkan etika kewartawanan dengan mengutamakan ketepatan fakta, penulisan berkualiti dan nilai intelektual demi memastikan industri seni terus berkembang secara sihat.

Sambutan HAWANA 2026 mencapai majlis kemuncaknya hari ini dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth yang bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini. – Bernama

Continue Reading

Previous: Exist rindu zaman era wartawan jadi benteng artis

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.