KESATUAN Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyanggah sekeras-kerasnya cadangan untuk memansuhkan cuti penggal persekolahan seperti yang disuarakan Permuafakatan Ibu bapa Malaysia (MIMBAR) baru-baru ini.
Presidennya, Ahmad Malie menegaskan cadangan tersebut dilihat seolah-olah masyarakat melihat guru dan murid-murid tidak terlibat dengan sebarang sesi pembelajaran sepanjang sesi persekolahan bersemuka ditangguhkan.
Katanya, sepanjang penangguhan persekolahan bersemuka, para guru dan tidak terkecuali murid-murid juga terpaksa mengerahkan lebih tenaga untuk menjayakan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) demi memastikan pembelajaran murid-murid tidak terhenti begitu sahaja.
“PdPR tetap dilaksanakan seperti yang diarahkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) walaupun sesi persekolahan bersemuka ditangguhkan.
“Justeru, KGBS menegaskan bahawa jangan ada masyarakat memandang cuti penggal dalam situasi covid-19 ini tidak penting.
“Walaupun murid-murid kelihatan agak tenang, namun mereka sentiasa dalam keadaan tertekan ketika mengikuti PdPR sebelum ini. Sebenarnya murid-murid tertekan ketika belajar secara atas talian.
“Oleh itu, KGBS menegaskan cuti penggal adalah satu keperluan dan masih relevan untuk murid-murid merehatkan minda mereka daripada tekanan mengikuti PdPR,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.
Ahmad menambah berkata, KGBS menegaskan sedemikian demi melihat kepentingan dan kebajikan murid-murid dari sudut psikologi. Dari sudut psikologi, apabila mereka diberi cuti sekurang-kurangnya dalam tempoh tersebut mereka dapat menurunkan aras tekanan yang mereka alami sebelum ini.
Menurutnya, sekiranya cuti dimansuhkan dan ini pasti akan menambahkan tekanan kepada murid-murid untuk meneruskan sesi persekolahan mereka.
“Sekiranya cuti dimansuhkan, sudah pasti murid-murid tidak berpeluang untuk merehatkan minda mereka daripada mengikuti terus sistem pembelajaran mereka.
“Kepada mereka yang mencadangkan untuk memansuhkan cuti ini bahawa kepenatan dan keletihan yang dialami oleh minda murid-murid tidak sama dengan kepenatan seperti yang kita rasai ketika dalam perjalanan yang jauh tanpa henti.
“Kepenatan minda ini sukar kita lihat dengan mata kasar seperti seseorang yang kita lihat mengalami kepenatan dari segi fizikal dan tenaganya.
Jangan kita fikir murid-murid akan belajar secara berterusan tanpa bercuti,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, seandainya cuti sekolah dimansuhkan, sebenarnya bagi KGBS situasi sedemikian berpeluang boleh menjadikan murid-murid tidak fokus terhadap pembelajaran mereka tanpa rehat.
“KGBS mengibaratkan cadangan untuk memansuh cuti penggal persekolahan ini adalah seperti mendera murid-murid untuk terus memerah otak dan minda mereka untuk mengikuti dan menerima pembelajaran yang dilaksanakan.
“Justeru, KGBS menekankan agar cuti penggal persekolahan ini tetap diteruskan seperti yang telah dijadualkan oleh KPM.
“Oleh itu, KGBS menggesa agar KPM tidak tunduk kepada tekanan daripada netizen yang melihat dari sudut secara literal semata-mata tentang kepentingan cuti persekolahan kepada murid-murid dan mengambil kira kebajikan murid-murid dan juga guru-guru sebelum membuat sesuatu keputusan tentang cadangan pemansuhan cuti penggal ini.
Katanya, KGBS bersedia menawarkan diri untuk turut serta sekiranya ada usaha untuk mengadakan sesi sindikasi berhubung isu memansuhkan cuti penggal persekolahan ini.
Terdahulu, Permuafakatan Ibu bapa Malaysia (MIMBAR) Yang Dipertuanya, Datin Seri Ismalina Ismail mengeluarkan kenyataan mencadangkan supaya semua cuti penggal persekolahan bagi tahun ini dimansuhkan.