Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Kezaliman terhadap haiwan, HASS kecam sikap lepas tangan pihak mahkamah
  • MAHKAMAH

Kezaliman terhadap haiwan, HASS kecam sikap lepas tangan pihak mahkamah

Utusan Sarawak 2 days ago
BUKTI... Gambar rakaman CCTV menunjukkan detik seekor anjing dilanggar dua kali oleh kenderaan yang dipandu suspek dalam kejadian kejam yang berlaku di jalan awam.

KUCHING: Persatuan Kebajikan Haiwan Humane Sarawak (HASS) mengecam sekeras-kerasnya keputusan Mahkamah Negeri yang menolak permohonan semakan semula kes pembunuhan seekor anjing secara sengaja oleh seorang lelaki yang dirakam kamera melanggar haiwan itu bukan sekali, tetapi dua kali.

Insiden menyayat hati yang berlaku di jalan awam itu bukan sahaja dirakam sepenuhnya, malah turut disaksikan beberapa orang awam termasuk seorang wanita mengandung yang menyifatkan bunyi tulang anjing itu remuk serta jeritannya yang memilukan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Saksi-saksi turut melaporkan trauma akibat kekejaman yang berlaku di depan mata mereka.

Bagaimanapun, walaupun bukti dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Maong oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan saksi mata, tertuduh yang dikenali sebagai Hong Thian Hock hanya dikenakan bon berkelakuan baik selama enam bulan mengikut Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah, tanpa sebarang hukuman berat atau sabitan kesalahan.

Presiden HASS, Anna Wee, menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu penghinaan kepada keadilan dan pencabulan moral masyarakat.

“Adalah sesuatu yang tidak masuk akal apabila perbuatan membunuh haiwan secara sengaja dan dirakam kamera, dianggap tiada merit untuk disemak semula oleh sistem kehakiman,” tegasnya.

Permohonan rasmi bagi menyemak keputusan tersebut telah dikemukakan oleh penasihat undang-undang HASS kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Sarawak pada 21 April 2025.

Namun pada 15 Julai lalu, HASS menerima maklum balas daripada Mahkamah Negeri bahawa permohonan semakan itu ditolak atas alasan tiada merit.

HASS menyifatkan penggunaan Seksyen 67 dalam kes ini sebagai “longgar dan tidak memadai”, sekali gus memberi mesej bahawa seseorang boleh membunuh dengan niat dan masih bebas tanpa hukuman yang setimpal.

Sehubungan itu, HASS menggesa agar Pejabat Peguam Negara meneliti semula budi bicara pendakwaan dalam kes kekejaman terhadap haiwan ini serta menjelaskan mengapa ia ditolak tanpa pertimbangan sewajarnya.

BUKTI… Gambar rakaman CCTV menunjukkan detik seekor anjing dilanggar dua kali oleh kenderaan yang dipandu suspek dalam kejadian kejam yang berlaku di jalan awam.

Selain itu, memperluas dan menguatkuasakan Akta Kebajikan Haiwan 2015 ke Sarawak secara menyeluruh bagi menutup kekosongan undang-undang yang membolehkan kekejaman terus berlaku tanpa hukuman serta melaksanakan reformasi terhadap sistem kehakiman agar kes-kes keganasan terhadap haiwan tidak lagi dipandang remeh, sebaliknya diberikan perhatian setimpal dengan nilai keadilan dan kemanusiaan sejagat.

Menurut HASS, Sarawak masih jauh ketinggalan dalam aspek perlindungan kebajikan haiwan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Tambahan pula, apabila mahkamah bersikap acuh tak acuh walaupun bukti jelas ditampilkan, ini mencerminkan keruntuhan sistem dan kelemahan integriti kehakiman.

“Jika institusi kehakiman terus bersikap dingin dan undang-undang kekal tumpul, maka kita sedang membentuk generasi yang tidak lagi mempedulikan nyawa selain dirinya sendiri,” ujar Anna.

Tambah beliau, ingatan rakyat terhadap kes ini kekal segar dalam mahkamah pendapat umum.

“Apabila seorang hakim gagal mempertahankan amanah moralnya, kita sedang menyemai generasi yang terbiasa dengan kekejaman dan membisu terhadap keadilan,” katanya.

Tags: mahkamah

Continue Reading

Previous: Kemaskini kes Zayn Rayyan: Zaim Ikhwan bebas tuduhan pengabaian, Ismanira diperintah bela diri
Next: Dr Mahathir, Ahmad Zahid capai persefahaman tarik balik dua saman di Mahkamah Tinggi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.