
KUCHING: Usaha memperkasa wanita perlu bermula dengan pembinaan jati diri, keyakinan dan daya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup.
Pengerusi Biro Wanita Pertubuhan Kebangsaan Belia Sarawak (SABERKAS) Sarawak merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menegaskan penampilan luaran hanya sebahagian kecil daripada usaha tersebut, manakala kekuatan sebenar terletak pada keupayaan wanita menghargai diri sendiri.
“Wanita yang memiliki keyakinan dalaman akan lebih bersedia berdepan dunia luar serta mampu bersaing dalam kerjaya dan kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melalui teks yang dibacakan oleh wakilnya, Penasihat Biro Wanita SABERKAS dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dr Dayang Nurfizawaty Dato Sri Abang Abdul Karim semasa merasmikan Program ‘Groomed & Gorgeous: A Journey to Confidence’ di Muzium Budaya Borneo, hari ini.
Pakar fesyen dan etiket antarabangsa, Gillian Hung atau lebih dikenali sebagai Mama G, diundang sebagai penceramah jemputan untuk berkongsi pengalaman luasnya dalam dunia peragaan serta memberikan panduan mengenai cara membawa diri dengan penuh keyakinan.
Beliau mengingatkan peserta agar tidak mudah goyah dengan kritikan, sebaliknya menjadikan sokongan insan terdekat sebagai sumber kekuatan untuk terus maju.
Selain sesi motivasi, peserta juga mengikuti perbincangan interaktif yang menyentuh isu imej profesional di tempat kerja, sindrom penipu serta kepentingan ekspresi diri secara positif.
Program berkenaan berjaya mewujudkan ruang untuk wanita membina keberanian, berkongsi pandangan serta menimba ilmu baharu yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.
Usaha yang digerakkan Biro Wanita SABERKAS membuktikan kesungguhan badan itu dalam membina ruang untuk wanita menimba ilmu, meningkatkan kemahiran dan mengukuhkan keyakinan agar mampu berdikari.
Oleh Amanda L