Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kevin Lau calon pilihan SUPP bagi DUN Bawang Assan
  • TEMPATAN

Kevin Lau calon pilihan SUPP bagi DUN Bawang Assan

Utusan Sarawak 7 hours ago
 TERIMA KASIH…Kaunselor Kevin Lau (lima dari kiri) menyampaikan hadiah cenderahati kepada Dr Sim sebagai tanda penghargaan menghadiri Sambutan Ulang Tahun Ke-12 SUPP Cawangan Bawang Assan Bersama Masyarakat Iban Bawang Assan hari ini.

SIBU: Kaunselor Kevin Lau diumumkan sebagai calon pilihan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk diketengahkan mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Presiden SUPP, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, nama Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan yang juga Ketua Pemuda SUPP itu akan dikemukakan kepada Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bagi dipertimbangkan sebagai calon rasmi gabungan tersebut.

“Saya akan mencalonkan beliau kepada Premier Abang Jo sebagai calon GPS bagi kerusi DUN Bawang Assan pada pilihan raya akan datang,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Ke-12 SUPP Cawangan Bawang Assan Bersama Masyarakat Iban Bawang Assan di sini, hari ini.

Menurut Dr Sim, Kevin Lau mempunyai ciri kepimpinan yang diperlukan untuk memimpin Bawang Assan kerana bukan sahaja rajin bekerja dan petah berhujah, malah komited serta ikhlas dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

Beliau berkata, Kevin Lau turut memainkan peranan mengemukakan cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan bandar Sibu dengan kawasan tebing barat Sibu, sebelum cadangan itu mendapat sokongan daripada Premier Sarawak.

Katanya, projek berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan baharu serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk di kawasan itu.

“Pemimpin seperti Kevin Lau amat diperlukan untuk meneruskan agenda pembangunan dan memastikan Bawang Assan tidak terus ketinggalan. Sekarang kita di Bawang Assan harus bekerja keras untuk memenangi pilihan raya ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Sim turut mengimbau sejarah penubuhan SUPP di Sibu pada tahun 1959, iaitu empat tahun sebelum pembentukan Malaysia, sambil menegaskan parti itu kekal konsisten memperjuangkan kepentingan Sarawak serta berkhidmat kepada rakyat pelbagai kaum.

Beliau berkata, kestabilan politik yang terjalin melalui kerjasama erat parti-parti komponen di Sarawak telah menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi negeri, pembangunan infrastruktur dan peningkatan taraf hidup rakyat.

Sehubungan itu, beliau menyeru golongan muda supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang pendidikan yang disediakan kerajaan negeri serta bersedia menggalas tanggungjawab sebagai pelapis kepimpinan bagi meneruskan agenda pembangunan dan kemajuan Sarawak.

Hadir sama, tiga Naib Presiden SUPP, Datuk Ding Kuong Hiing, Datuk Michael Tiang dan Joseph Chieng, Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau serta tetamu jemputan yang lain.

Oleh Tarani Lanting

Continue Reading

Previous: Kajian penerokaan minyak, gas di Sarawak siap akhir tahun – Awang Tengah
Next: Bandar pintar Sarawak mesti seiring agenda rendah karbon, tadbir urus digital 

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.