KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatat keuntungan bersih lebih rendah pada RM32.4 bilion bagi separuh pertama 2024 berbanding RM40.2 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.
Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas Liza Mustapha berkata keuntungan bersih lebih rendah itu berikutan langkah dekonsolidasi anak syarikat serta cukai lebih tinggi dalam tempoh berkenaan.
Perolehan hasil syarikat minyak dan gas negara itu bagaimanapun meningkat kepada RM171.7 bilion bagi separuh pertama berakhir 30 Jun, 2024, berbanding RM169.0 bilion dalam tempoh sama sebelum ini.
Peningkatan itu, kata Liza, disumbangkan oleh keuntungan daripada pertukaran asing.
“Sebahagiannya diimbangi oleh realisasi purata harga lebih rendah, terutama bagi gas asli cecair (LNG), sejajar dengan penurunan harga penanda aras,” katanya pada sesi pengumuman prestasi kewangan Petronas di sini, hari ini.
Selain itu, aliran tunai aktiviti operasi Petronas pula berjumlah RM54.8 bilion — susut RM3 bilion atau lima peratus yang seiringan dengan penurunan keuntungan dalam tempoh berkenaan.
Perbelanjaan modal (capex) syarikat minyak dan gas negara itu berjumlah RM25.7 bilion, terutamanya daripada aktiviti pembangunan dan penerokaan dalam perniagaan huluan dengan Capex domestik meningkat 18 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Jumlah aset kumpulan pula meningkat kepada RM798.6 bilion pada 30 Jun, 2024 berbanding RM773.3 bilion pada 31 Dis, 2023 yang disumbangkan terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan modal dalam tempoh kewangan di bawah kajian.
Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM443.9 bilion didorong terutamanya oleh keuntungan dalam tempoh kewangan dengan sebahagiannya diimbangi oleh dividen berjumlah RM32 bilion yang diumumkan kepada pemegang saham.
Sementara itu, mengulas prestasi kewangan separuh pertama 2024, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata kumpulan itu telah mencatat keputusan memberangsangkan dalam senario ketidaktentuan pasaran yang berterusan serta kelembapan ekonomi global.
“Ketika kita melepasi penanda 50 tahun, Petronas telah menyuntik sejumlah RM1.4 trilion ke dalam ekonomi negara melalui dividen, cukai serta pembayaran tunai.
“Seiring perkembangan dan evolusi sebagai pemain tenaga global pada masa ini, Petronas akan terus memperkukuh kerjasama dengan rakan niaga yang menumpukan kemajuan masa depan di dalam serta di luar negara.
“Kita juga akan mempercepat usaha menggunapakai teknologi dan pelaksanaan Strategi Peralihan Tenaga bagi membuka jalan untuk pertumbuhan masa depan,” katanya.
Menyentuh prospek, Tengku Muhammad Taufik menjangkakan harga minyak berada dalam julat antara AS$70 hingga AS$80 setong dalam tempoh terdekat walaupun wujud faktor seperti ketidakstabilan geopolitik dan konflik di rantau Asia Barat.
— BERNAMA