
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih AirAsia X Bhd (AAX) melonjak kepada RM35.22 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 berbanding RM4.82 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.
AAX melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata pendapatan pada suku itu merosot kepada RM660.80 juta daripada RM669.14 juta.
“Walaupun pendapatan susut sedikit, kumpulan itu mencapai kapasiti yang lebih tinggi selain penggunaan tempat duduk yang lebih baik pada suku tersebut, mencerminkan kecekapan operasi yang mantap dan permintaan penumpang yang berterusan terhadap laluan utama,” katanya.
Untuk enam bulan pertama berakhir pada 30 Jun 2025, AAX mencatatkan kenaikan keuntungan bersih sebanyak RM85.43 juta berbanding RM84.94 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala pendapatan meningkat kepada RM1.60 bilion daripada RM1.58 bilion.
Kumpulan itu ketika mengulas mengenai prospek memberitahu setakat 30 Jun 2025, ia masih mengekalkan armada sebanyak 19 pesawat, dengan 18 pesawat sedang beroperasi manakala, bakinya yang sedang menunggu pengaktifan yang dirancang pada Jun 2025 telah ditangguhkan semasa separuh kedua disebabkan oleh kekurangan bekalan enjin.
Menjelang suku kedua 2025, kumpulan itu telah membawa 935,218 penumpang melalui 1.21 juta kerusi, mencapai faktor beban 83 peratus yang sihat untuk suku dan separuh pertama tahun ini.
“Lembaga Pengarah berasa teruja dengan prestasi semasa dan yakin bagi memenuhi sasaran dalaman yang diterbitkan,” katanya, sambil menambah bahawa dengan permintaan bermusim yang kukuh yang dijangka pada suku keempat 2025, jualan ke hadapan akan kekal mantap, disokong oleh aliran yang positif.
AAX berkata berikutan ketidakpastian geopolitik yang berterusan, kumpulan itu terus mengekalkan pengurusan pertukaran asing dan turun naik harga bahan api yang berhemat.
“Tambahan pula, penurunan harga bahan api kapal terbang baru-baru ini telah menyokong usaha kumpulan untuk mengekalkan struktur kos yang berdisiplin,” katanya.
-Bernama