DEMONSTRASI…Margaret Kiat menunjukkan cara membuat anyaman seraung.
KUCHING: Seramai 50 pembuat kraf tangan dari Kuching, Sibu, Samarahan, Serian, Kelantan, Sabah dan Melaka terlibat sama dalam Festival Kraftangan Sarawak 2022 bersempena dengan Citrawarna Keluarga Malaysia yang bermula semalam.
Festival Kraftangan ini dibuka kepada pengunjung mulai semalam sehingga 27 Februari yang mempamerkan dan menjual pelbagai produk tempatan yang terdiri daripada hasil rimba, tekstil, hasil tanah dan aneka kraf.
Tinjauan Utusan Sarawak juga mendapati, selain daripada penjualan produk kraf tangan terdapat juga demonstrasi terompah kayu, pembuatan songkok, terabai, sulaman pis, anyaman seraung, pembuatan blok/cop batik dan pembuatan parang.
Margaret Kiat, 56, dari Kampung Sabandil Papar, Sabah ketika ditemui berkata, beliau mempelajari kraf tangan anyaman seraung (topi) buatan ibunya sejak sejak kecil lagi.
Katanya, seraung biasanya dipakai oleh kaum wanita sebagai pelindung matahari semasa bertani kini ia terkenal sebagai kraf tangan Sabah dan untuk menyiapkan satu seraung ia mengambil masa dua minggu lebih untuk disiapkan.
“Kebanyakkan corak dan motif dan corak bersumberkan unsur persekitaran yang unik dan tersendiri, pada masa dahulu orang mengikut corak alam sekitar untuk mendapatkan motif hiasan untuk pembuatan seraung.
“Seraung ialah penutup kepala hasil anyaman masyarakat Kadazandusun di Sabah, Seraung turut dikenali dengan nama sirung, siyung dan terendak. Berbentuk kon, seraung dianyam daripada buluh dan salingkawang.
“Ia berbentuk kon dan dianyam daripada buluh lemang, buluh tebal, salingkawang dan rotan, proses pembuatan seraung ini mudah tetapi bagi mereka yang baru-baru berjinak membuat seraung ia agak sukar kerana perlu tahu menganyam terlebih dahulu,” katanya ditemui pemberita semalam.
Tambahnya, selain diperagakan dalam persembahan tarian dan majlis keramaian, seraung juga sering dijadikan sebagai hiasan rumah.
“Seraung ini dijual pada harga RM200 hingga RM550 dan permintaan seraung ini mendapat sambutan hingga ke luar negara.
“Baru-baru ini anyaman seraung saya telah ditempah pelanggan dari Jepun,” katanya.
Tambahnya lagi, ini merupakan kali pertama beliau terlibat dengan pameran kraf tangan di Bumi Kenyalang dan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan di atas peluang yang diberikan sekali gus mempromosikan kraftangan Sabah kepada pengunjung di negeri ini.
“Biasanya saya terlibat dengan pameran kraf tangan di Kuala Lumpur dan ada juga di peringkat antarabangsa seperti di Australia, Jerman dan Jepun.
“Saya amat gembira kerana dapat menyertai festival kraf tangan ini untuk mendemonstrasi pembuatan anyam seraung kepada pengunjung hadir,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO