Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Ketua Warden Asrama persoal ibu Zara Qairina berdiam walau anak mengadu masalah
  • MAHKAMAH

Ketua Warden Asrama persoal ibu Zara Qairina berdiam walau anak mengadu masalah

Utusan Sarawak 7 hours ago

KOTA KINABALU: Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha mempersoalkan tindakan ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat yang berdiam diri walaupun anaknya dikatakan pernah mengadu mengenai masalah yang dihadapinya di asrama. 

Azhari Abd Sagap, 31, yang juga guru Bahasa Arab membangkitkan persoalan itu ketika memberi keterangan sebagai saksi kelapan pada hari kesembilan prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu itu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

“Cerita mengenai ‘Kak M’ ini bermula sejak Mei lepas, mengikut hasil siasatan pihak sekolah … Kenapa ibu Zara Qairina tidak membuat sebarang laporan kepada pihak sekolah? Itu yang menjadi persoalan saya.

“Saya rasa sangat terkesan dengan kehilangan pelajar itu … sebab itu saya ambil tahu semuanya. Kalau tiada aduan daripada Zara Qairina sendiri, sepatutnya ada aduan daripada ibunya. Tetapi langsung tidak ada,” katanya dengan nada kecewa.

Menjawab soalan peguam Abdul Fikry Jaafar yang mewakili empat tertuduh kanak-kanak dalam kes itu, Azhari berkata ibu mangsa juga tidak pernah menceritakan sebarang inisiden buli kepadanya ketika mereka bertemu di unit kecemasan hospital.

“Ya, tidak ada. Kami tahu (buli) pun selepas ibu mangsa membuat hantaran di TikTok,” katanya.

Azhari yàng meluahkan rasa sedih kerana secara peribadi mengenali Zara Qairina sebagai pelajarnya, turut mengimbas kembali pesanan yang pernah disampaikannya dalam kelas Bahasa Arab yang dihadiri mangsa.

“Saya ajar Zara Qairina… saya pernah berpesan dalam kelas, kalau kamu (semua murid perempuan) tidak mahu menutup aurat dengan baik atau tidak mahu memakai handsock, kamu humban saja bapa kamu dengan batu.

“Selepas itu, Zara Qairina mula memakai handsock. Saya masih ingat handsock putih yang dipakainya. Saya tidak tahu apa yang sebenarnya dialami mangsa. Saya sendiri tertanya-tanya dan mahu cari keadilan,” katanya.

Zara Qairina yang belajar di kelas Tingkatan 1 Fatimah, tinggal di Asrama Qurratu Ayun di tingkat 3 Blok Rabiatul Adawiyah bersama 11 pelajar lain dan bangunan itu di bawah seliaan Azhari.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada kira-kira 4.00 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.- Bernama

Continue Reading

Previous: Inkues Zara Qairina: Ketua warden sebak dengan kecaman ‘netizen’
Next: Kes Zara Qairina: ‘MA’ bermaksud Mesyuarat Asrama – Ketua Warden

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.