Ketua Polis Padawan terima kunjungan hormat ADUN Batu Kitang dan wakil MCPF

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
KERJASAMA antara PDRM dan komuniti diperkukuh menerusi pertemuan Supt Barry William bersama Dato Ir Lo Khere Chiang serta wakil MCPF bagi membincangkan usaha pencegahan jenayah di Batu Kitang.

PADAWAN: Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William, menerima kunjungan hormat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang, serta wakil Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan hari ini.

Barry yang diiringi ketua-ketua bahagian IPD Padawan menyambut ketibaan Lo bersama Setiausaha MCPF, Leonard Sabu, Dr Rajan Thangaveloo, Thomas dan Imelda dalam kunjungan berkenaan yang berlangsung di bilik mesyuarat IPD Padawan.

Menurut Barry, pertemuan itu memberi tumpuan kepada perbincangan dan perancangan pelaksanaan Program Rondaan Kejiranan (Neighbourhood Crime Watch) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memperkukuh penglibatan masyarakat dalam usaha pencegahan jenayah, selain merapatkan kerjasama antara komuniti dan agensi penguat kuasa.

Tambahnya, program itu juga bertujuan mempertingkat lagi kerjasama sedia ada antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat setempat dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.

Oleh Connie Chieng