
HAMILTON (Kanada: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Selasa menyuarakan kebimbangan berhubung operasi ketenteraan India yang menyasarkan lokasi di Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Beliau menyeru agar kedua-dua negara mengamalkan kawalan ketenteraan sepenuhnya.
“Dunia tidak mampu menanggung risiko konfrontasi ketenteraan antara India dan Pakistan,” kata jurucakapnya Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.
Kenyataan Guterres itu dibuat susulan laporan mengenai operasi ketenteraan India, yang dinamakan “Operasi Sindoor”, yang menyasarkan beberapa lokasi di Pakistan dan wilayah Jammu dan Kashmir yang ditadbir Pakistan.
Ia berlaku ketika ketegangan antara kedua-dua negara memuncak susulan serangan bulan lalu di kawasan pelancongan Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, yang mengorbankan 26 orang.
Kedua-dua negara turut melaksanakan respon diplomatik terhadap satu sama lain, termasuk membatalkan visa untuk warganegara masing-masing dan memanggil pulang sebahagian kakitangan diplomatik.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, banyak negara termasuk Amerika Syarikat telah menghubungi pemimpin kedua-dua negara dalam usaha meredakan ketegangan. — Bernama-Anadolu