
NEW DELHI: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Isnin menggesa keamanan di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat antara India dan Pakistan, sambil menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan terkini di Asia Selatan.
Beliau berkata PBB bersedia untuk menyokong sebarang inisiatif yang dapat menyumbang kepada meredakan ketegangan dan usaha diplomatik.
Bercakap kepada wartawan di luar Majlis Keselamatan di Ibu Pejabat PBB di New York, Guterres menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan susulan serangan baru-baru ini di Kashmir yang ditadbir India.
“Saya amat sedih melihat hubungan kedua-dua negara sampai ke tahap ini.
“Saya sekali lagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” kata Ketua PBB itu sambil menyatakan bahawa beliau memahami “emosi yang tercetus” susulan serangan di Pahalgam pada 22 April lalu.
Guterres menegaskan kepentingan mengelakkan sebarang konflik ketenteraan.
“Adalah amat penting — terutamanya pada saat genting ini — untuk mengelak daripada konfrontasi ketenteraan yang boleh dengan mudah tercetus di luar kawalan.
“Kini adalah masanya untuk menunjukkan tahap berhemah tertinggi dan mengelakkan bahaya.
“Penyelesaian ketenteraan bukanlah satu penyelesaian,” tegas Guterres, sambil menyokong gesaan antarabangsa agar ketegangan diturunkan.
Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tertutup pada Isnin bagi membincangkan situasi antara kedua-dua negara berkenaan.
Iran juga kini giat berusaha dengan Pakistan dan India dalam mencari jalan meredakan ketegangan.
Situasi serantau itu dilaporkan menjadi antara topik utama dalam perbincangan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi bersama pemimpin Pakistan di Islamabad pada Isnin.
Kedutaan Iran di New Delhi memaklumkan bahawa Araghchi dijadual ke India pada Khamis ini.
Malaysia turut menawarkan bantuan bagi meredakan ketegangan di Asia Selatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia kekal terbuka untuk memainkan peranan secara konstruktif sekiranya diperlukan.
“Kami percaya hubungan akrab Malaysia dengan Pakistan dan India meletakkan kita pada kedudukan yang sesuai untuk menyokong usaha ke arah keamanan dan kestabilan serantau,” kata Anwar.
— Bernama