
HAMILTON (Kanada): Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyampaikan ucapan selamat menyambut Aidiladha kepada umat Islam di seluruh dunia, sambil menyeru kepada kesatuan dan belas kasihan yang lebih mendalam di tengah konflik dan perpecahan global.
Dalam mesej yang dimuat naik di platform X pada Khamis, Guterres berkata, “Di saat dunia dilanda konflik, perpecahan dan keganasan, marilah kita mengambil inspirasi daripada nilai-nilai solidariti, komuniti dan belas kasihan yang menjadi asas sambutan ini.”
“Salam Aidiladha buat semua yang meraikannya. Eid Mubarak!,” lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan Guterres.
Umat Islam di Arab Saudi, Qatar, Kuwait dan beberapa negara lain dijangka menyambut Aidiladha pada Jumaat.
Sambutan Aidiladha berbeza mengikut negara disebabkan oleh perbezaan berdasarkan rukyah (pemerhatian anak bulan) dan hisab (pengiraan astronomi). — Bernama-Anadolu