Ketua PBB gesa Thailand, Kemboja ambil tindakan berhemah

Facebook
WhatsApp
TENTERA Kemboja berdiri di atas sebuah trak tentera bersama senjata anti-pesawat di wilayah Oddar Meanchey pada 25 Julai 2025. Thailand dan Kemboja terlibat dalam pertempuran ketenteraan paling berdarah dalam lebih sedekad pada 24 Julai, dengan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh apabila kedua-dua pihak bertempur menggunakan kereta kebal, artileri dan pasukan darat di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
Foto AFP

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa Thailand dan Kemboja supaya menahan diri sepenuhnya, kata seorang jurucakap PBB pada Khamis, lapor Xinhua.

“Setiausaha Agung mengikuti dengan penuh kebimbangan laporan mengenai pertempuran bersenjata di sempadan Kemboja dan Thailand.

“Setiausaha Agung menggesa kedua-dua pihak supaya menahan diri sepenuhnya dan menangani sebarang isu menerusi dialog dalam semangat kejiranan yang baik, bagi mencari penyelesaian yang berkekalan terhadap pertikaian itu,” kata Timbalan Jurucakap Ketua PBB Farhan Haq pada taklimat harian.

Keadaan di sempadan Thailand-Kemboja bertambah tegang susulan pertempuran pada Khamis.

Kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain susulan situasi yang semakin meruncing itu dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menggesa Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan perkara itu.– Bernama-Xinhua