
BANGKOK: Ketua Parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul dipilih sebagai perdana menteri baharu Thailand selepas memperoleh undi majoriti di Parlimen hari ini.
Ahli politik veteran berusia 58 tahun itu, yang mendapat sokongan oleh gabungan pimpinan Bhumjaithai dan parti pembangkang Parti Rakyat, menewaskan calon Parti Pheu Thai, Chaikasem Nitisiri dalam undian melibatkan 490 ahli, dengan memperoleh 311 undi berbanding 152 manakala 27 lagi berkecuali.
Keputusan itu mengukuhkan kedudukan Anutin, kerana beliau dengan mudah melepasi ambang 247 undi yang diperlukan untuk dipilih sebagai perdana menteri dan membentuk kerajaan baharu.
Proses pengundian yang bermula pada 3 petang waktu tempatan, selesai dalam tempoh sejam.
Speaker Dewan, Wan Muhamad Noor Matha akan mempersembahkan nama Anutin kepada Raja Maha Vajiralongkorn untuk mendapatkan perkenan baginda.
Anutin, bekas timbalan perdana menteri serta menteri dalam negeri dan kesihatan, merupakan tokoh utama dalam usaha Thailand memerangi wabak COVID-19.
Dilahirkan di Bangkok, Anutin ialah anak sulung kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Chavarat Charnvirakul.
Beliau mendapat pendidikan di Assumption College dan menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan dari Hofstra University pada 1989, diikuti Mini MBA dari Universiti Thammasat pada 1990.
Anutin, pewaris empayar pembinaan terkemuka pernah berkhidmat sebagai presiden firma keluarganya, Sino-Thai Engineering and Construction PCL, yang terlibat dalam projek utama kerajaan termasuk Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok.
Seorang jurutera mengikut kelayakan, beliau menceburi bidang politik pada 1996 sebagai penasihat kepada menteri luar dan kemudiannya berkhidmat sebagai timbalan menteri kesihatan awam dan perdagangan.
Selepas dikenakan larangan berpolitik selama lima tahun susulan pembubaran Parti Thai Rak Thai pada 2006, beliau kembali pada 2012 untuk menerajui Parti Bhumjaithai.
-Bernama