KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Datuk Sarjan (B) Awang Raweng di Dewan Suarah Kuching, semalam.
Abang Johari hadir bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK), Dato Sri Fatimah Abdullah, dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion pada jam 9.25 pagi.
Abang Johari turut berkesempatan menzahirkan kedukaan dan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang sebelum meninggalkan dewan.
Upacara diteruskan dengan bacaan doa yang diketuai Reverend Canon Roannie W. Cannidy dan disusuli bacaan/ucapan penghormatan daripada Uggah.
“Kami berkumpul di sini hari ini untuk meratapi kehilangan besar negara kita, pahlawan sejati kita.
“Mendiang mempunyai ciri-ciri utama seorang pahlawan seperti keberanian, tekad yang tinggi,” katanya dalam ucapan penghormatan beliau.
Uggah menyifatkan keberanian semasa pertempuran dengan komunis pada 27 Mei 1951 di Johor sebagai teladan kerana mendiang pada ketika itu bertindak secara sukarela menyelamatkan rakannya yang memerlukan tanpa mengharapkan balasan atau keuntungan luaran.
Menurut Uggah, selain daripada menerima anugerah Pingat George Cross, mendiang pernah mendapat pelbagai anugerah lain seperti Pingat Jasa Malaysia pada tahun 2011, Pingat Perkhidmatan Umum, Pingat Jubli Berlian Ratu Elizabeth II pada tahun 2012, Pingat Jubli Emas Ratu Elizabeth II pada tahun 2002, Pingat Jubli Perak Ratu Elizabeth II pada tahun 1977 dan Elizabeth II Pingat Pertabalan Ratu pada tahun 1953.
Sementara itu, Kerajaan Sarawak turut mengurniakan kepadanya anugerah Panglima Setia Bintang pada 2018, yang membawa gelaran ‘Datuk’, sebagai pengiktirafan kepahlawanannya ketika Sambutan Ulang Tahun Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak yang ke-82.
Mendiang menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 104 tahun, Jumaat 18 September, 2020 di kediaman anaknya di Jalan Padri, Sri Aman.
Mendiang meninggalkan sembilan orang anak, 24 cucu, 26 cicit dan dua piut.
Oleh Akmal Adib Yusup