SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diminta untuk bertindak pantas dalam menangani aduan yang disuarakan melalui media sosial bagi mengelak persepsi negatif terhadap peranan mereka dalam masyarakat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee berkata, langkah proaktif perlu diambil untuk memastikan penduduk berasa masalah mereka diberi perhatian.
“Kita harus bekerjasama untuk mengelakkan persepsi bahawa ketua masyarakat tidak berfungsi.
“Walaupun tidak mungkin kita dapat memuaskan hati semua pihak di kampung atau rumah panjang, kita perlu berusaha mengurangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian dan penutupan program Pemantapan Personel KMKK dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Nangka 2024 di Dewan Lakis, di sini hari ini.
Dr. Annuar yang juga ADUN Nangka berkata antara isu yang sering dibangkitkan ialah jalan rosak, parit tersumbat, dan masalah bekalan air, terutama di kawasan DUN Nangka.
“Sejak kebelakangan ini, saya banyak menerima aduan mengenai masalah air.
“Pihak Lembaga Air Sibu (LAS) telah memberikan penjelasan bahawa penyelesaian sedang dilaksanakan, tetapi kita perlu bersabar sementara kerja-kerja pembaikan diteruskan,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya ketua masyarakat turun padang untuk bertemu penduduk yang mempunyai masalah dan segera melaporkan perkara itu kepada pihak berwajib, termasuk dirinya.
“Saya mahu ketua masyarakat bertindak cepat apabila mendengar isu di kawasan masing-masing.
“Ini bagi mengelakkan perkara tersebut menjadi viral di media sosial, yang kadangkala sukar mengenal pasti siapa pengadunya.
“Walaupun saya membaca setiap aduan di Facebook dan cuba menghubungi pengadu, saya lebih suka masalah ini diselesaikan secara terus,” katanya.
Beliau juga tidak keberatan dengan perkongsian isu di media sosial, asalkan maklumat yang disampaikan itu benar dan membantu pihak berwajib mengambil tindakan segera.
“Justeru, saya menyeru ketua kampung dan penghulu untuk memantau kawasan masing-masing dan memastikan setiap isu dapat ditangani dengan berkesan,” tambahnya.
Oleh TARANI LANTING