KUCHING: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) harus mempunyai kewibawaan dan ciri kepemimpinan yang baik serta dihormati dalam masyarakat.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi (gambar) berkata ini kerana mempunyai akhlak dan budi pekerti yang baik, membuatkan seseorang KMKK dihormati dan dipercayai.
“Ketua masyarakat juga adalah tempat orang kampung meminta nasihat dan berbincang mengenai masalah yang mereka hadapi.
“Bagi orang kampung, pelantikan seseorang ketua masyarakat yang bertanggungjawab adalah penting kerana mereka umpama ‘wakil rakyat’ mereka di peringkat akar umbi.
“Mereka ini boleh membawa segala permasalahan orang kampung kepada pihak berwajib dan agensi-agensi kerajaan yang lain,” katanya.
Beliau mengulas artikel bertajuk ‘Apa sebenarnya tugas KMKK?’ yang disiarkan dalam Kolum Jentik akhbar ini semalam.
Antara lain artikel itu menyentuh peranan KMKK kerana ada di sesetengah kawasan, mereka bagaikan penyambut kehadiran orang kenamaan sahaja tetapi jarang membincang atau mencari jalan untuk pembangunan sosioekonomi penduduk yang diserah bulat-bulat kepada wakil rakyat untuk memikirkannya.
Ahmad Johnie berkata apa yang lebih penting ialah ketua masyarakat juga harus menjalinkan hubungan yang baik dengan wakil rakyat kerana segala permasalahan orang kampung perlu dibawa ke pengetahuan wakil rakyat mereka.
Katanya, pelantikan atau pemilihan ketua masyarakat di sesebuah kampung atau rumah panjang sudah menjadi polemik yang hangat diperkatakan.
“Ia umpama ‘sudah terang lagi bersuluh’ kerana isu yang berbangkit adalah ketidakpuasan orang kampung dengan individu yang dilantik menjadi Ketua Kaum (KK) atau Penghulu yang bukan dari kalangan individu yang dipercayai atau dicalon oleh mereka.
“Apa yang terjadi? Setiap kali selepas pelantikan Ketua-Ketua Masyarakat baharu di sesebuah kampung pasti akan ada orang yang tak puas hati, umpama ‘rumah siap pahat berbunyi’
“Ini adalah kerana mereka yang dipilih bukan dari kalangan individu yang dikehendaki dan dipercayai oleh orang kampung.
“Pelantikan ketua masyarakat seperti ada ‘tangan ghaib’ yang menentukan, sebab ada dalam kalangan ketua masyarakat yang dilantik tidak mempunyai sifat keperibadian yang disegani dan tidak mempunyai latar akademik yang baik.
“Malah mereka ini tidak tahu tanggungjawab sendiri dalam menjalankan amanah sebagai pemimpin dalam komuniti.
“Bagi kalangan orang kampung, mereka dilantik kerana ada unsur campur tangan pihak tertentu. Malah ada desas-desus kedengaran mereka merasakan pelantikan ketua masyarakat seperti ‘lantikan politik’.
Ahmad Johnie berkata memang tidak dapat dinafikan bahawa wakil rakyat mempunyai tanggungjawab yang penting dalam memastikan segala masalah dihadapi oleh orang kampung dapat diatasi.
Katanya, segala projek infrastruktur dalam kampung seperti jalan raya bersimen, jalan titian, naik taraf sistem perparitan, bina baru dewan masyarakat, masalah bekalan air, elektrik, masalah jaringan Internet dan sabagainya perlu dimaklum dan dikemukakan kepada wakil rakyat selain daripada agensi kerajaan yang relevan.
Beliau berkata ini belum lagi mengenai keperluan dana untuk JKKK, PIBG Persatuan-Persatuan yang ada dalam sesebuah kampung bagi mengadakan pelbagai program dan aktiviti dalam komuniti.
“Semua ini memerlukan dana yang disumbangkan oleh wakil rakyat. Oleh itu, seseorang yang menjadi ketua masyarakat tiada pilihan melainkan harus mempunyai hubungan yang baik dengan wakil rakyat dan sentiasa berhubung dengan wakil rakyat untuk kepentingan penduduk kampung yang diwakilinya,” katanya.
Realitinya kata Ahli Parlimen Igan itu, KMKK adalah sebuah institusi yang wajar dihormati kerana mereka terdiri daripada individu berwibawa dan dihormati.
“Mereka menjadi pengantara di antara agensi kerajaan dan wakil rakyat dengan orang kampung . Mereka adalah individu yang dapat memberi maklumat relevan yang diperlukan,” katanya.