
SARATOK: Seramai 38 Tuai Rumah bersama seorang Penghulu berganding bahu menjayakan aktiviti gotong-royong mengumpul sampah di sepanjang laluan Perhentian Bas dan Pusingan P (P-Turn) di Lebuh Raya Pan Borneo dekat kawasan Awik, pagi tadi.
Program anjuran Gerempong Tuai Rumah Kawasan Awik itu turut disertai Pegawai Pusat Khidmat N.39 Krian mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik.
Menurut Friday, aktiviti ini melibatkan kawasan dari Simpang Saratok hingga ke Pusingan P Simpang Kawit, dengan tumpuan utama kepada enam perhentian bas, empat simpang utama dan tiga pusingan P di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo dekat Awik.
“Gotong-royong ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial Gerempong Tuai Rumah Awik kepada masyarakat.


“Ia menunjukkan bahawa peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) seperti Tuai Rumah tidak hanya terbatas kepada menjaga penduduk rumah panjang semata-mata,” katanya.
Tambahnya lagi, kehadiran 38 Tuai Rumah serta seorang Penghulu membuktikan semangat kerjasama dan perpaduan erat di kalangan pemimpin masyarakat di kawasan berkenaan, sekali gus memastikan aktiviti berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai matlamatnya.
Aktiviti sebegini, ujar Friday, bukan sahaja membantu menjaga kebersihan persekitaran, tetapi juga memperkukuh semangat gotong-royong dan keprihatinan sosial antara masyarakat tempatan.
Turut hadir, Penghulu Loya Seman, Tuai Rumah Michael Meling selaku Pengerusi Gerempong Tuai Rumah Awik, James Jimbun serta petugas-petugas Lebuh Raya Pan Borneo.
Oleh Adi Safarman