
SIBU: Seminar Skop Perkhidmatan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu menekankan peranan penting pemimpin masyarakat dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada komuniti dengan lebih profesional dan berkesan.
Pengerusi Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu Temenggung Dato Vincent Lau berkata, melalui seminar ini para ketua kaum telah mendapat pemahaman yang lebih jelas mengenai tanggungjawab mereka dalam membantu masyarakat setempat.
“Saya percaya semua pemimpin masyarakat kini lebih bersedia untuk terus berkhidmat dengan semangat yang tinggi, penuh dedikasi dan profesionalisme,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penutupan seminar tersebut di sebuah hotel di Pulau Li Hua, di sini hari ini.
Lau berkata, persatuan itu akan terus melaksanakan pelbagai program dan taklimat bagi memperkukuh pengetahuan serta kemahiran ahli.
“Saya merasa gembira melihat ramai ketua kaum menghadiri seminar pada hari ini,” ujarnya.
Beliau turut menggesa semua pemimpin masyarakat agar terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing, aktif dalam aktiviti persatuan, saling bekerjasama dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan ahli.
Seramai 80 peserta telah menyertai seminar tersebut.
Turut hadir, wakil Residen Bahagian Sibu Abdul Malik Hashim, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sibu Cynthia Ong Hshiang Ping, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sibu Uwieng Gimos, pengerusi penganjur Penghulu Yong King Sung serta tetamu kehormat yang lain.
Oleh Akun Giman