
PRAGUE: Bekas ketua doktor di Republik Czech dijatuhi hukuman penjara 28 tahun kerana membunuh secara kejam rakan sekerja wanitanya dan melakukan beberapa kesalahan lain, menurut keputusan mahkamah wilayah di bandar barat Pilsen semalam, lapor agensi berita CTK seperti yang dipetik oleh agensi berita Jerman dpa.
CTK melaporkan bahawa hakim mendapati lelaki berusia 41 tahun itu terbukti telah membunuh kekasihnya, yang juga seorang doktor, dengan menetak muka mangsa sekurang-kurangnya lima kali menggunakan kapak.
Lelaki itu berkata motifnya ialah kerana wanita berusia 28 tahun itu telah memberitahu isterinya mengenai hubungan mereka melalui SMS. Mahkamah mengklasifikasikan pembunuhan itu sebagai amat menyeksakan dan kejam.
Sejurus selepas perbuatan kejam itu pada Oktober 2024, lelaki yang disabitkan kesalahan itu dipercayai memandu ke rumah seorang kenalan wanita.
Dia menyerang wanita berusia 37 tahun itu, mencekiknya sehingga pengsan, kemudian menanggalkan pakaiannya dan merogol mangsa.
Dia kemudiannya kembali ke apartmen mangsa pertama, apabila unit khas polis menahannya.
“Doktor sepatutnya menyembuh dan menyelamatkan nyawa, bukan meragut nyawa mangsa,” kata hakim.
Ketika perbicaraan, lelaki itu mengaku melakukan jenayah tersebut tetapi menafikan ia dilakukan secara terancang.
Walau bagaimanapun, penilaian pakar menyimpulkan bahawa dia bertindak bukan kerana dorongan emosi tetapi dengan niat yang dirancang.
Pihak pembelaan dan pendakwaan kedua-duanya mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.
-Bernama