
KUCHING: Ketua DAPSY Stampin, Soo Tien Ren merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan susulan rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Soo berkata pelantikan tersebut merupakan satu pengiktirafan yang wajar terhadap komitmen berterusan Mordi dalam memperjuangkan agenda belia, khususnya di kawasan luar bandar, belia masyarakat pribumi serta golongan yang sering terpinggir dalam arus pembangunan negara.
“Sebagai individu yang telah lama bekerja rapat dengan belia akar umbi, saya sendiri menyaksikan komitmen tidak berbelah bahagi beliau dalam isu belia. Keprihatinannya terhadap belia luar bandar dan masyarakat pribumi di Sarawak jelas menunjukkan kefahamannya terhadap realiti di lapangan,” katanya.
Menurut Soo, pelantikan tersebut juga mencerminkan kesediaan kerajaan Persekutuan untuk mendengar dan mengiktiraf suara belia Sarawak serta komuniti yang terpinggir.
Beliau menegaskan bahawa Kementerian Belia dan Sukan memikul tanggungjawab besar dalam membentuk generasi pelapis negara, dan yakin pendekatan berprinsip serta berteraskan rakyat yang dibawa oleh Mordi akan menyumbang kepada dasar belia yang lebih inklusif, berkesan dan mudah diakses.
“Saya yakin kepimpinan Mordi akan memastikan belia daripada pelbagai latar belakang dapat menikmati manfaat sebenar daripada dasar dan program nasional,” katanya.
Soo yang juga Ketua DAPSY Stampin berkata beliau menantikan kerjasama berterusan bersama Mordi dalam usaha memperkasa belia, memperluaskan peluang serta memperkukuh pembangunan sukan demi masa depan Malaysia yang lebih adil dan inklusif.
Beliau sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Mordi Bimol dan mendoakan kejayaan beliau dalam melaksanakan amanah pada jawatan baharu tersebut.
Oleh Connie Chieng