
KUCHING: Kerajaan terus memperkukuh langkah membanteras ketirisan subsidi bahan api bagi memastikan bantuan yang disediakan benar-benar dinikmati rakyat yang layak serta mengurangkan tekanan terhadap kedudukan fiskal negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata usaha tersebut menjadi semakin penting ketika pasaran minyak dunia berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada harga minyak global.
Menurut beliau, perbelanjaan subsidi bahan api meningkat dengan ketara daripada sekitar RM800 juta sebulan sebelum konflik kepada RM4.7 bilion dan RM4.9 bilion ketika harga minyak berada pada paras tinggi.
“Apabila kerajaan memberi subsidi, kita mahu memastikan subsidi itu sampai kepada rakyat yang layak dan tidak berlaku ketirisan kepada pihak yang tidak sepatutnya menerima manfaat tersebut,” katanya pada sesi taklimat media di sebuah hotel terkemuka di Kuching, hari ini.
Beliau berkata kerajaan turut memberi keutamaan kepada jaminan bekalan bahan api negara bagi memastikan aktiviti ekonomi tidak terjejas walaupun berlaku gangguan terhadap rantaian bekalan global.
Katanya, kerjasama antara Petronas dan syarikat minyak berjaya memastikan bekalan bahan api di seluruh negara kekal stabil sepanjang tempoh konflik tersebut.
Dalam usaha mengurangkan ketirisan, kerajaan memperhebat pemantauan dan penguatkuasaan menerusi kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Polis Diraja Malaysia.
Beliau berkata langkah rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan sebelum ini turut membantu mengurangkan kebocoran subsidi dan memastikan peruntukan kerajaan dapat dimanfaatkan secara lebih berkesan.
Mengulas perkembangan pasaran minyak dunia, Amir Hamzah berkata terdapat petunjuk ke arah kestabilan susulan usaha perdamaian yang sedang dijalankan di Asia Barat.
Bagaimanapun, beliau berkata kesan konflik terhadap kemudahan penapisan dan pengeluaran minyak dijangka mengambil masa sebelum pulih sepenuhnya, menyebabkan harga minyak global masih berada pada paras lebih tinggi berbanding sebelum peperangan.
“Yang penting bagi kerajaan ialah memastikan bekalan terus terjamin dan bantuan kepada rakyat dapat diteruskan secara mampan,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud