Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Ketergantungan minyak Teluk Parsi: Risiko strategik kepada negara
  • KOLUMNIS

Ketergantungan minyak Teluk Parsi: Risiko strategik kepada negara

Utusan Sarawak 7 hours ago

DALAM lanskap geopolitik global yang semakin tidak menentu, kebergantungan Malaysia terhadap import minyak mentah dari Teluk Parsi kini muncul sebagai satu risiko strategik yang tidak boleh dipandang ringan.

Struktur industri penapisan negara yang bergantung kepada minyak mentah jenis berat masam merupakan jenis minyak mentah yang mengandungi kandungan sulfur yang tinggi (sour crude) dari rantau tersebut menjadikan Malaysia terdedah secara langsung kepada sebarang gangguan bekalan terutamanya jika Selat Hormuz, laluan utama perdagangan minyak dunia, ditutup akibat konflik geopolitik melibatkan Iran.

Industri petroleum negara

Realitinya, industri petroleum Malaysia telah mengalami perubahan struktural yang signifikan. Dahulu, negara ini memiliki kelebihan melalui pengeluaran minyak mentah ringan manis (light sweet crude) dari medan seperti Tapis di Terengganu, yang berkualiti tinggi dan rendah sulfur.

 Namun, sifat minyak ini lebih sesuai untuk eksport dan pemprosesan petrokimia bernilai tinggi, berbanding untuk kegunaan domestik secara besar-besaran.

Tambahan pula, sumber ini semakin menyusut, memaksa kilang penapisan tempatan seperti di Kerteh, Port Dickson, Melaka dan Pengerang beralih kepada pemprosesan minyak mentah berat masam yang diimport, khususnya dari Teluk Parsi.

SEKIRANYA Selat Hormuz ditutup, kesannya terhadap Malaysia adalah serta-merta dan serius.

Implikasi

Maka kesannya, negara kini berada dalam kedudukan paradoks, iaitu sebuah negara pengeluar petroleum yang tetap bergantung kepada import minyak mentah untuk memenuhi keperluan domestik. Ketergantungan ini bukan sekadar isu ekonomi, tetapi juga soal keselamatan tenaga negara (energy security).

Sekiranya Selat Hormuz ditutup, kesannya terhadapMalaysia adalah serta-merta dan serius. Laluan ini mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak global. Gangguan walaupun dalam tempoh singkat akan menyebabkan lonjakan harga minyak mentah dunia.

Bagi Malaysia, kesan berganda akan berlaku. Yang pertama, peningkatan kos import minyak mentah, manakala yang kedua akan berlakunya tekanan terhadap harga petrol dan diesel domestik.

Lebih membimbangkan, simpanan minyak mentah dan produk petroleum negara dianggarkan hanya mampu bertahan sekitar dua bulan. Hal ini bermakna, jika krisis berlanjutan tanpa alternatif bekalan yang pantas, Malaysia berisiko menghadapi gangguan bekalan bahan api, sekali gus menjejaskan sektor pengangkutan, logistik, perindustrian dan kehidupan harian rakyat.

Strategi baharu

Dalam konteks ini, syarikat pengendali kilang penapisan seperti Petronas, Shell dan Petron perlu segera bertindak secara proaktif. Tindakan mempelbagaikan sumber bekalan minyak mentah adalah satu keperluan mendesak, bukan pilihan.

Negara seperti Afrika Barat, Amerika Latin atau bahkan Rusia (bergantung kepada sekatan geopolitik) boleh menjadi alternatif, namun isu logistik, kos penghantaran dan kesesuaian spesifikasi minyak mentah dengan susunan system terhadap kilang penapisan perlu diambil kira secara teliti.

Namun, penyelesaian teknikal semata-mata tidak mencukupi. Kerajaan Madani perlu bersedia dengan langkah dasar yang komprehensif bagi mengurus impak ekonomi dan sosial daripada krisis ini.

Kenaikan harga minyak mentah global hampir pasti akan meningkatkan tekanan inflasi domestik, khususnya melalui harga bahan api dan kos pengangkutan.

Dalam keadaan ini, kesinambungan skema subsidi bersasar menjadi amat penting untuk melindungi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Dilema dasar dan pendekatan lebih strategik

Namun, di sinilah terletaknya dilema dasar. Jika subsidi dikekalkan secara meluas, beban fiskal kerajaan akan meningkat secara signifikan, terutama dalam keadaan hasil negara yang tidak menentu.

Sebaliknya, jika subsidi dikurangkan atau dihapuskan, rakyat akan berhadapan dengan lonjakan kos sara hidup yang boleh mencetuskan ketidakpuasan sosial dan tekanan politik terhadap kerajaan.

Oleh itu, pendekatan yang lebih strategik diperlukan. Perkara ini termasuklah usaha kerajaan perlu mempercepat pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar yang benar-benar efisien, telus dan berasaskan data.

Selain itu, usaha memperkukuh rizab petroleum strategik negara (strategic petroleum reserves) perlu dipertingkatkan bagi memastikan ketahanan bekalan dalam situasi kecemasan.

Seterusnya, Malaysia perlu mempercepat agenda peralihan tenaga (energy transition). Kebergantungan berlebihan kepada bahan api fosil menjadikan negara terdedah kepada kadar kenaikan atau penurunan harga yang pantas, drastik, dan tidak dijangka dalam pasaran kewangan.

Aspek ini menggambarkan tahap risiko dan ketidaktentuan, semakin tinggi, semakin besar perubahan harga dan risiko pelaburan. Maka turun naik, ketidaktentuan, dan letusan risko yang tinggi dalam konteks geopolitik global.

Pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui seperti solar, biojisim dan hidrogen hijau bukan sahaja membantu mengurangkan risiko ini, tetapi juga membuka ruang ekonomi baharu yang lebih mampan.

SYARIKAT pengendali kilang penapisan seperti Petronas, Shell dan Petron perlu segera bertindak secara proaktif.

KesanĀ  terhadap politik negara

Dalam dimensi politik domestik, krisis ini juga berpotensi menjadi ujian besar kepada kredibiliti kerajaan. Rakyat cenderung melihat isu harga petrol bukan sebagai fenomena global semata-mata, tetapi sebagai kegagalan kerajaan mengurus kos sara hidup.

Terdapat kecenderungan pihak pembangkang mengulang-ulang video lama Anwar Ibrahim ketika itu yang mengkritik berterusan pengurusan kenaikan harga minyak ketika zaman pemerintahan Pak Lah dan Najib Razak iaitu era UMNO Barisan Nasional memerintah negara yang menuduh telah membebankan rakyat kerana menaikan harga minyak.

Hal ini mengakibatkan reputasi Pak Lah dan Najib selaku Perdana Menteri terjejas hingga menjadi stigma kepada rakyat dan ini menjadi  antara faktor kemerosotan populariti BN pada pilihan raya ke-13 pada 2013 dan seterusnya kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke -14 2018.

Maka cabaran Anwar pada masa kini ialah perlu membuktikan kemampuan beliau menangani isu kenaikan harga minyak dunia dengan lebih bijaksana pada masa kini lebih-lebih lagi ia dijangka menjadi isu besar kepada rakyat dan pembangkang pada pilihan raya umum ke-16 nanti.

Naratif komunikasi dan persepsi

Selain itu, naratif komunikasi kerajaan perlu jelas, konsisten dan berasaskan fakta yang dapat membezakan antara faktor luaran (harga minyak dunia) dan langkah dalaman (dasar subsidi, kawalan harga, bantuan tunai).

Kegagalan mengurus persepsi ini boleh memberi ruang kepada pembangkang untuk memanipulasi isu dan meningkatkan tekanan politik, terutama dalam suasana ekonomi yang mencabar.

Sebaliknya, jika kerajaan berjaya menunjukkan kecekapan dan ketelusan dalam mengurus krisis, ia boleh mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan sedia ada.

Rumusan

Hakikatnya, krisis ini harus dilihat sebagai satu amaran hasil daripada pergolakan geo-politik dunia yang merupakan peristiwa dan pengalaman yang mengejutkan akan tetapi perlu ada kesedaran tentang keperluan untuk berubah atau menangani masalah.

Ia perlu dilihat sebagai ingatan supaya tidak lagi mengabaikan situasi kritikal yang berlaku dan benar-benar menuntut perubahan menangani secara terbaik.

Ketergantungan kepada sumber tenaga luar tanpa pelan mitigasi yang kukuh adalah satu kelemahan strategik. Dalam dunia yang semakin tidak stabil, keupayaan sesebuah negara untuk menjamin keselamatan tenaga menjadi salah satu petunjuk utama kedaulatan dan daya tahan nasional.

Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada andaian bahawa bekalan minyak global akan sentiasa stabil. Sebaliknya, negara perlu bersedia menghadapi ketidaktentuan dengan strategi yang menyeluruh, menggabungkan kepelbagaian sumber, inovasi teknologi, disiplin fiskal dan kepimpinan politik yang berwibawa.

Jika tidak, krisis di Selat Hormuz bukan sekadar isu luar negara, tetapi boleh menjadi krisis domestik yang menggugat ekonomi, sosial dan politik Malaysia secara serentak.

Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah Pengarah Kajian Kecemerlangan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.

Continue Reading

Previous: Suasana Hari Raya pertama di Kuching pada 1960

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.