
KUCHING: Cip pintar KETEQ.AI yang direka oleh anak jati Sarawak berpotensi mengangkat negeri ini sebagai kuasa global dalam industri reka bentuk cip, setanding dengan syarikat gergasi seperti NVIDIA.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata cip nano berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu mampu menyelesaikan pelbagai masalah termasuk dalam sektor tenaga dan automotive dalam masa hanya satu pertiga saat.
Menurut beliau, cip tersebut kini sedang menunggu pendaftaran hak harta intelek (IP) di peringkat antarabangsa.
Ia merupakan peranti penukar kuasa berasaskan AI yang pertama seumpamanya di dunia.
“Seperti NVIDIA, mereka tidak menghasilkan cip tetapi hanya mereka bentuknya. Begitu juga dengan kita, mereka bentuk cip ini.
“Jika perkara ini menjadi kenyataan, saya yakin ia akan membawa nama Sarawak ke pentas dunia,” katanya semasa berucap dalam program Jelajah Kreatif Digital anjuran Kementerian Digital Malaysia di TEGAS Digital Village, di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa kejayaan ini telah dibawa kepada perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya telah memberitahu Perdana Menteri, sebaik sahaja kita memperoleh pendaftaran IP, saya mahu beliau melihat cip ini sendiri dan melancarkannya secara rasmi,” jelasnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Digital Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Ketua Setiausaha Kementerian Digital Fabian Bigar, Timbalan Ketua Setiausaha Ma Sivanesan Marimuthu, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Dato Ir Ts Sudarnoto Osman, serta ketua-ketua jabatan lain.