SEHARI selembar benang, lama-lama menjadi kain. Kesabaran dan ketekunan mengusahakan sesuatu pasti membuahkan hasil yang kita mahukan.
Hasilnya pasti memuaskan hati dan menjadi pedoman untuk terus berjaya dalam bidang yang diceburi.
Hari ini penulis membawa pembaca menyingkap satu kisah benar di sebalik ketekunan dan kesabaran yang telah membuahkan hasil lumayan bagi kaum wanita di Kampung Jerijeh.
Tentunya kita berasa bangga dengan pencapaian dari kaum wanita ini dan kebanyakkan mereka adalah surirumah sepenuh masa.
Semangat Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Jerijeh untuk maju ke hadapan sentiasa berkobar-kobar dan mereka tidak pernah putus asa mengusahakan penanaman cili secara fertigasi.
Bak kata peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Sesuatu kejayaan itu tidak akan dapat dicapai sekiranya tanpa usaha.
Usaha yang dilakukan ini pula, perlulah dilakukan sehabis baik dan dilaksanakan dengan penuh kesungguhan, bukannya hanya setakat melepas batuk ditangga.
Penanaman cili secara fertigasi merupakan kaedah penanaman baharu yang menarik minat usahawan-usahawan dan petani moden yang terlibat dalam bidang pertanian.
Teknologi fertigasi telah terbukti memberi kesan yang baik pada tanaman cili dan sayur-sayuran.
Permintaan petani dan usahawan untuk menggunakan sistem ini semakin meningkat, terutama untuk penanaman cili.
Menariknya, kaedah penanaman cili secara fertigasi tidak memerlukan tapak yang luas, sangat bersistematik dan menjimatkan kos.
Selain itu, penanaman cili secara fertigasi juga mampu menambah pendapatan kepada usahawan dan petani.
Malah, ia juga boleh diusahakan di kawasan lapang ditepi rumah sahaja.
Ia dijalankan secara berkumpulan dan membuahkan hasil lumayan, sekali gus menyerlahkan potensi besar kaedah tanaman cili fertigasi pada masa depan.
Segalanya bermula setelah Wanita PBB Ranting Kampung Jerijeh menjalani Kursus Penanaman Cili Secara Fertigasi yang merupakan anjuran Pusat Khidmat PBB N41 Kuala Rajang, tahun lalu.
Sebanyak 4 rumah SPH disediakan untuk penanaman cili secara fertigasi di Kampung Jerijeh yang berkeluasan 12,800 kaki persegi.
Namun buat masa ini, hanya tiga rumah SPH berkeluasan 9,600 kaki persegi digunakan untuk penanaman cili secara fertigasi dan mengandungi 2,160 polibeg cili.
Pada 4 Januari lalu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh telah menjalankan lawatan dan tinjauan di tapak penanaman cili tersebut.
Beliau melahirkan perasaan bangga dan gembira dengan usaha penanaman cili fertigasi yang dilakukan oleh Wanita PBB Ranting Kampung Jerijeh.
Dalam pada itu, Datu Len turut meninjau perkembangan penanaman cili fertagasi itu pada 10 Februari lalu.
Ketika tinjauan tersebut, Ketua Projek Fertigasi Cili Kampung Jerijeh, Jaimah Arbi berkata, pengalaman mereka mengusahakan penanaman tembikai batu atau ‘rock melon’ secara fertigasi sebelum ini banyak mengajar mereka cara mengendalikan penanaman cili secara fertigasi.
“Selain itu, kami juga mendapat tunjuk ajar dari Jabatan Pertanian dan Syarikat Sukip Farming.
“Galakan dari Yang Berhormat (YB) Datu Len Talif Salleh antara pencetus semangat kami untuk meneruskan penanaman cili fertigasi.
“Kami mula mengusahakan penanaman cili fertigasi dalam tahun 2020, dimana dua tahun sebelumnya kami menjalankan penanaman tembikai batu secara fertigasi,” katanya.
Jelasnya, mereka menanam dua jenis cili iaitu cili besar dikenali sebagai cili 641 dan cili kecil dikenali sebagai cili 508.
“Setakat ini, alhamdulillah, kami telah memasarkan hasil cili tersebut di pasaran tempatan dan juga ke Kuching.
“Kami berazam untuk terus mempergiatkan usaha penanaman cili fertigasi bagi menampung keperluan produk makanan segar dipasaran,” ujarnya.
Ternyata kegigihan dan usaha mereka untuk berjaya membuahkan hasil yang lumayan dan membantu menambahkan lagi hasil pendapatan mereka.
Bagi yang berminat untuk menjalankankan penanaman cili atau sayuran lain secara fertigasi, teruskan usaha anda sehingga berjaya dan pastinya usaha itu tangga kejayaan.
Oleh EARL ANEK