Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Ketahui istilah sebenar penerbangan, memang sukar difahami penumpang
  • KOLUMNIS

Ketahui istilah sebenar penerbangan, memang sukar difahami penumpang

Utusan Sarawak 22 hours ago

APABILA menaiki kapal terbang, kita mungkin akan terdengar beberapa istilah yang menimbulkan kekeliruan atau tanda tanya.

Hal ini terjadi kerana makna yang kita fahami melalui terjemahan langsung istilah-istilah bahasa Inggeris tersebut tidak sesuai atau tidak kena dengan situasi yang sedang berlaku.

Kekeliruan ini bukan sekadar berpunca daripada terjemahan literal yang tidak tepat dalam konteks bidang aeronautik, tetapi juga boleh memberi kesan langsung terhadap kefahaman penumpang akan istilah tersebut.

Walaupun istilah-istilah ini jarang digunakan dalam percakapan seharian, penggunaannya melalui media sosial atau bahan bacaan boleh menimbulkan lebih banyak tanda tanya andainya tidak dijelaskan dengan makna dalam konteks berkaitan.

Antara istilah yang kerap menimbulkan kekeliruan ialah ‘air pocket’ atau kantung udara. Istilah ini sering digunakan untuk menggambarkan situasi sebuah pesawat seolah-olah ‘terjatuh’ secara tiba-tiba ke dalam ruang kosong di udara.

Situasi ini memang menakutkan, namun pemahaman dari sudut sains sebenarnya tidak wujud ruang kosong atau ‘lubang’ di atmosfera kerana udara sentiasa mengisi semua ruang yang ada.

Keadaan pesawat ‘jatuh’ yang dirasai adalah akibat gelora udara yang berlaku apabila pesawat melalui kawasan yang mempunyai aliran udara dengan kelajuan dan arah berbeza dengan laluan penerbangan.

Selain itu, terdapat satu istilah yang kurang diketahui ramai, namun pengalaman yang dihasilkannya pasti dirasai oleh setiap penumpang ketika pesawat hendak mendarat.

Istilah tersebut ialah ‘flare’. Jika diterjemah secara langsung, ia membawa maksud nyalaan atau menyala yang mungkin menggambarkan imej bahaya atau sesuatu yang membara.

Namun, dalam konteks penerbangan, ‘flare’ merujuk kepada olah gerak terkawal yang dilakukan oleh juruterbang pada saat-saat akhir sebelum mendarat.

Gerakan ini melibatkan penarikan muncung pesawat secara ‘halus’ ke atas untuk mengurangkan kadar penurunan, sekali gus membolehkan roda-roda pesawat menyentuh landasan dengan lebih ‘lembut’ dan stabil.

Tindakan ini bukan dramatik, sebaliknya ia adalah teknik berkemahiran tinggi yang menyepadukan kawalan sudut pendaratan dengan pengurusan tenaga dan kelajuan yang tepat.

Hasilnya, penumpang merasai pengalaman pendaratan yang ‘licin’ dan selesa, seolah-olah pesawat hanya meluncur masuk ke landasan tanpa hentakan.

Komunikasi juruterbang banyak menggunakan istilah tertentu yang sukar difahami penumpang.

Selain itu, sepanjang penerbangan, juruterbang perlu sentiasa memastikan ketiga-tiga parameter ‘pitch’, ‘roll’ dan ‘yaw’ pesawat berada dalam keadaan stabil dan terkawal.

Namun, tanpa kefahaman teknikal yang tepat, ketiga-tiga istilah ini mudah disalahtafsirkan maknanya. ‘Pitch’ misalnya, mungkin difahami sebagai padang bola atau perbuatan melempar, tapi sebenarnya ia merujuk kepada sudut pendongakan muncung pesawat sama ada ke atas atau ke bawah yang dikawal oleh permukaan penaik (elevator) iaitu bahagian sayap kecil di ekor pesawat.

‘Roll’ pula mungkin digambarkan sebagai berguling atau bergulung, tetapi ia membawa maksud putaran terkawal pesawat pada paksi memanjangnya.

Gerakan ini dikawal oleh aileron yang terletak berhampiran hujung kedua-dua sayap yang memberikan keadaan seperti kita merebah pada sebelah sisi badan.

‘Yaw‘ di sini pula bukanlah bermakna menguap, namun ia merupakan pergerakan putaran pesawat pada paksi menegaknya, iaitu gerakan ke kiri atau ke kanan yang dikawal oleh rudder di ekor tegak pesawat.

Seterusnya, satu lagi istilah yang sering disalah tafsir adalah ‘stall’. Secara literal, perkataan ini mungkin diterjemahkan sebagai gerai, lengah atau lebih teruk, ia difahami sebagai situasi enjin pesawat mati atau terhenti di udara.

TAXI …..Juruterbang akan ‘menteksi’ pesawat selepas mendarat untuk membawa penumpang ke pintu ketibaan atau sebelum berlepas untuk bergerak dari pintu pelepasan ke hujung landasan.

Hakikatnya, ‘stall’ sama sekali tidak berkaitan dengan kegagalan enjin. Ia merujuk kepada keadaan aerodinamik sayap yang telah mencapai sudut serangan (angle of attack) terlalu tinggi.

Situasi ini mengakibatkan aliran udara di permukaan sayap menjadi tidak stabil, lalu mengurangkan daya angkat secara mendadak.

Walaupun keadaan ini amat kritikal dan berisiko, juruterbang telah dilatih untuk mengelak daripada melampaui had sudut selamat tersebut.

Tapi sekiranya ia berlaku, mereka berkemahiran untuk memulihkan kawalan pesawat dengan serta-merta.

Antara istilah lain yang juga sering mengelirukan ialah ‘headwind’ atau terjemahan harfiah ialah kepala angin. Frasa ini mungkin difahami sebagai orang yang mudah berubah perangainya, tetapi dalam konteks aeronautik, ia merujuk kepada angin yang bertiup bertentangan dengan arah penerbangan pesawat.

Angin hadapan ini sebenarnya sangat penting untuk membantu dalam kedua-dua fasa kritikal iaitu ketika hendak berlepas dan mendarat.

Semasa hendak berlepas, ia meningkatkan aliran udara di atas sayap, membolehkan pesawat mencapai daya angkat yang diperlukan dengan lebih pantas seterusnya menggunakan jarak landasan yang lebih pendek.

Sebaliknya, semasa pendaratan, ‘headwind’ berperanan membantu memperlahankan pesawat dengan lebih cepat.

Hembusan angin yang datang dari arah hadapan pesawat menghasilkan daya bertentangan dengan arah gerakan, sekali gus mengurangkan jarak yang diperlukan untuk berhenti sepenuhnya di atas landasan.

Lawan ‘headwind’ pula ialah ‘tailwind’ atau ekor angin. Istilah ini merujuk angin yang bertiup mengikut arah penerbangan.

Walaupun ‘tailwind’ mempercepatkan kelajuan pesawat semasa fasa pelayaran (cruise), namun ia biasanya dielakkan semasa berlepas dan mendarat kerana ia meningkatkan kelajuan darat (ground speed) yang boleh menyukarkan kawalan selain memerlukan jarak landasan yang lebih panjang untuk terbang atau berhenti.

Selain itu, terdapat situasi apabila pesawat sudah menghampiri lapangan terbang untuk mendarat, tetapi tidak juga mendarat kerana ketika itu juruterbang perlu melaksanakan prosedur ‘holding’.

‘Black box’ atau kotak hitam bukan bermakna hitam tetapi dicat dengan warna jingga terang atau merah terang untuk memudahkan kru penyelamat mengesannya di tempat kejadian kemalangan.

Secara literal, istilah ini mungkin disalahertikan sebagai tindakan ‘memegang’ pesawat di satu tempat.

Sebenarnya, ‘holding’ merujuk kepada prosedur penerbangan terkawal yang melibatkan pesawat terbang perlu mengikut laluan berbentuk bujur atau bulatan dalam ruang udara yang telah ditetapkan.

Pesawat tidak berlegar secara rawak, sebaliknya mengikuti corak penerbangan yang tepat sambil menunggu kebenaran mendarat dari pusat Kawalan Trafik Udara (ATC).

Situasi ini lazimnya berlaku apabila lapangan terbang destinasi mengalami kesesakan trafik atau cuaca tidak mengizinkan selain mungkin terdapat kerja penyelenggaraan di landasan yang menidakkan pesawat untuk mendarat serta-merta.

Prosedur ‘holding’ merupakan langkah keselamatan standard yang bertujuan memastikan setiap pesawat dapat mengekalkan jarak pemisahan yang mencukupi sebelum melakukan pendekatan akhir untuk mendarat.

Satu lagi istilah mungkin paling mudah disalah erti dan sering didengar ialah ‘taxi’. Istilah ‘taxi’ sering dikaitkan dengan menaiki teksi atau kenderaan sewaan.

Namun dalam konteks penerbangan, istilah ini membawa maksud yang sama sekali berbeza. ‘Taxi’ merujuk secara khusus kepada pergerakan pesawat di atas permukaan rata seperti landasan, lorong khas (taxiway) atau kawasan apron dengan menggunakan kuasa enjinnya sendiri.

Sebagai contoh, juruterbang akan ‘menteksi’ pesawat selepas mendarat untuk membawa penumpang ke pintu ketibaan atau sebelum berlepas untuk bergerak dari pintu pelepasan ke hujung landasan.

Selain istilah-istilah di atas, ‘black box’ atau kotak hitam mungkin juga termasuk dalam istilah penerbangan yang sering disalahertikan.

Secara fizikal, kotak ini sama sekali tidak berwarna hitam.

Ia sebenarnya dicat dengan warna jingga terang atau merah terang yang dikenali sebagai ‘hi-vis orange’.

Tujuan warna ini adalah untuk memudahkan kru penyelamat mengesannya di tempat kejadian kemalangan.

Walaupun dinamakan sebagai kotak, perakam penerbangan ini sebenarnya direka bentuk dalam bentuk silinder yang sangat kukuh. Ia diperbuat daripada keluli tahan karat dan logam titanium bagi memastikan ketahanan maksimum terhadap impak kemalangan termasuk suhu tinggi akibat kebakaran serta tekanan air yang ekstrem di dasar laut.

Fungsi teknikal ‘black box’ ini terbahagi kepada dua komponen penting iaitu Perakam Data Penerbangan (FDR) yang merekodkan parameter pesawat seperti kelajuan, ketinggian dan pergerakan kawalan serta Perakam Suara Kokpit (CVR) yang merekodkan perbualan juruterbang dan bunyi di dalam kokpit.

Kedua-dua perakam ini merupakan sumber maklumat kritikal bagi pasukan penyiasat dalam usaha menentukan punca sesuatu nahas.

Rakaman suara kokpit dan data penerbangan yang terkandung dalam kotak hitam membolehkan analisis teknikal dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan tindakan pencegahan dapat dilaksanakan pada masa hadapan, sekali gus meningkatkan keselamatan penerbangan secara berterusan.

Masih banyak lagi istilah lain yang menarik untuk diketahui dan difahami dalam dunia penerbangan.

Namun, perkara yang paling penting sebenarnya ialah memastikan setiap istilah difahami dalam konteks teknikal yang tepat, bukan sekadar terjemahan literal.

Kefahaman yang betul bukan sahaja membantu mengurangkan kekeliruan dalam kalangan penumpang, malah menyumbang kepada komunikasi yang lebih berkesan antara pihak penerbangan dan orang awam.

Dalam era maklumat yang pantas dan terbuka, keupayaan untuk mentafsir istilah dengan betul menjadi asas kepada keselamatan, kepercayaan dan penghargaan terhadap kerumitan operasi udara yang sering kali tidak kelihatan.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Publisiti meluas untuk Malaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.