SERDANG: Hanya satu balingan terakhir diperlukan Yoyo Wong Zhi Yao untuk mengubah kekecewaan kepada kegemilangan apabila atlet berusia 18 tahun itu menghadiahkan pingat emas buat Sarawak dalam acara baling tukul besi pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, hari ini.
Pada penampilan sulungnya di pentas SUKMA, atlet dari Sibu itu bangkit selepas gagal mencatat keputusan dalam dua percubaan awal sebelum menghasilkan balingan sejauh 48.14 meter pada percubaan terakhir di Kompleks Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Catatan berkenaan bukan sahaja memastikan Yoyo muncul juara, malah menjadi rekod terbaik peribadi buatnya.

Pingat perak dimenangi atlet Perlis, Nur Salsabila Mohd Zam dengan catatan 47.71 meter, manakala Nurul Aiyani dari Pahang meraih gangsa selepas melakukan balingan sejauh 46.63 meter.
Yoyo berkata kejayaan tersebut cukup bermakna selepas dia turun dengan tekad untuk memburu emas dalam penampilan pertamanya di temasya berkenaan.
“Saya memang mensasarkan untuk menang emas acara ini.
“Terima kasih kepada jurulatih saya, Majlis Sukan Negeri Sarawak dan ibu bapa yang memberikan sokongan kepada saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai acara baling tukul besi pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, di Kompleks Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Menurutnya, latihan enam hari seminggu di bawah bimbingan bekas atlet kebangsaan, Jackie Wong Siew Cheer, banyak membantu meningkatkan persediaannya menghadapi SUKMA.

Katanya, Jackie sentiasa memberikan kata-kata semangat supaya dia kekal fokus dan memberikan persembahan terbaik dalam setiap pertandingan.
Kejayaan itu turut menyuntik keyakinan Yoyo untuk mengorak langkah lebih jauh apabila dia menyasarkan peluang mewakili Malaysia pada Sukan SEA suatu hari nanti.
Malah, dia mahu mengikut jejak idolanya, Grace Wong Xiu Mei yang pernah mengharumkan nama Malaysia dalam acara baling tukul besi di pentas antarabangsa.
Kemenangan Yoyo meneruskan penguasaan Sarawak dalam acara baling tukul besi di pentas SUKMA, selain membuktikan kemunculan pelapis baharu yang berpotensi meneruskan legasi negeri dalam acara berkenaan.




