Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kestabilan Politik Tanggungjawab Semua
  • TEMPATAN

Kestabilan Politik Tanggungjawab Semua

Utusan Sarawak 4 years ago
DR AWANG AZMAN AWANG PAWI

SEBELUM pelantikan Perdana Menteri baharu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan  sesiapa sahaja  yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 perlulah segera melakukan tindakan demokratik dengan mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat. Tujuan usul undi percaya tersebut adalah untuk melakukan pengabsahan jawatan Perdana Menteri baharu selepas pemilihan tersebut.

Hal ini merupakan proses kedua perlu dilakukan selepas Seri Paduka membuat pelantikan Perdana Menteri baharu mengikut Perkara 40 (2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan  yang memperuntukan bahawa setelah meneliti surat akuan dipersembah oleh ahli-ahli Dewan Rakyat, menyatakan siapa dalam kalangan mereka diberi kepercayaan untuk memegang jawatan tersebut.

Surat akuan itu bertujuan membantu Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Seterusnya baginda juga bertitah bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat majoriti ahli Dewan Rakyat.

Pandangan Peguam Negara

Namun begitu, selepas pelantikan Perdana Menteri baharu, Peguam Negara Idrus Harun beranggapan bahawa  tidak ada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri atau kerajaan pimpinannya. Hal ini kerana beliau percaya proses pelantikan dan penubuhan kerajaan sudah mengikut lunas undang-undang. Hal ini didorong oleh andaian bahawa sekiranya masih memerlukan keabsahan, bermakna kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara itu boleh diatasi pihak lain.

Sekiranya sedemikian, menurut pendapat beliau, langkah ini  akan dianggap tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan proses yang berlangsung daripada penerimaan surat-surat akuan tersebut,  penerimaan menghadap seramai 114 ahli Dewan Rakyat pada 19 Ogos 2021 bagi tujuan pengesahan kepercayaan mereka kepada pencalonan Perdana Menteri  yang baharu, iaitu Ismail Sabri Yaakob.

Selepas mendapat pengesahan tersebut, maka Perdana Menteri baharu telah mengangkat sumpah dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah taat setia, sesuai dengan kehendak Perkara 43(6) Perlembagaan Persekutuan  pada 21 Ogos.

Kepelbagaian Pandangan

Namun, tidak semua yang bersetuju dengan pandangan tersebut walaupun proses pemilihan tersebut dilihat teratur, teliti, sistematik dan telus. Sesuai dengan kebebasan bersuara dan tafsiran yang luas terhadap Perlembagaan Persekutuan, maka pelbagai pandangan melingkari isu tersebut. Malah ada yang menyifatkan  berlakunya kekeliruan dan kecelaruan. Bekas professor Perlembagaan negara, Abdul Aziz Bari  menyatakan bahawa  isu ini sebenarnya lebih kepada keabsahan atau legitimacy, bukan isu undang-undang. Yang menjadi persoalan  lebih bersifat politik atau asas moral kepada pelantikan dan kedudukan Perdana Menteri.

Menurut Aziz, seruan supaya diadakan usul percaya (motion of confidence) adalah supaya pelantikan tersebut disahkan. Meskipun langkah tersebut bukan keperluan undang-undang, namun, tidak bertentangan dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan. Beliau juga menyatakan bahawa amalan ini pernah dilakukan sebelum ini apabila pada tahun 1976, dalam pelantikan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri ketiga.

Selepas kematian Abdul Razak Hussein, undi percaya dibentang pada 27 Januari 1976 selepas 12 hari beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.  Sejak itu, ia sudah menjadi sebahagian daripada amalan dan tradisi Perlembagaan negara. Sebenarnya pelantikan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri pada tahun 2003 juga dilakukan dengan undi percaya pada 3 November 2003, iaitu  selepas tiga hari dilantik  menggantikan Dr. Mahathir. 

Mengukuhkan Kestabilan Politik

Setakat ini, Istana Negara belum mengeluarkan apa-apa kenyataan terbaharu selepas titah agar melaksanakan undi percaya dikehendaki dilakukan di Parlimen  telah dititahkan oleh Seri Paduka Yang Dipertuan Agong.  Hal ini bermakna titah tersebut masih relevan.  Maka, bagi kestabilan politik dan keharmonian, semua pihak perlu akur kepada titah YDPA bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik oleh baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secara secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat. Tujuannya adalah untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Perkara yang dibimbangi apabila titah YDPA ditafsir tanpa merujuk kepada Istana Negara bagi mendapat pengesahan dan persetujuan, maka hal ini boleh membawa kepada pelbagai tanggapan, persepsi atau reaksi negatif daripada rakyat, ahli parti, parti, ahli politik malah perdana menteri sendiri kerana YDPA sudah bertitah sedemikian. Isu ini perlu ditangani secara bijaksana agar tidak mengeruhkan hubungan  antara pihak kerajaan dan institusi Istana.  Kedua-dua pihak sebenarnya bertujuan baik, iaitu di pihak peguam negara, bimbang akan tafsiran berlakunya hakisan kuasa sekiranya undi percaya tiba-tiba berubah menjadi undi tidak percaya berlaku, manakala di pihak Istana Negara pula, mahukan proses demokrasi berparlimen disuburkan dengan mengadakan undi percaya.

Kebimbangan dalam kalangan rakyat pula adalah sekira berlakunya kedinginan hubungan  sebagaimana pernah dialami oleh  Muhiyiddin Yassin apabila sebanyak tiga kali titah Yang Dipertuan Agong untuk membuka Parlimen ketika darurat tidak dilaksanakan. Begitu juga isu draf Ordinan Darurat yang belum mendapat perkenan baginda Yang Dipertuan Agong yang akhirnya membawa ketidakpuasan hati rakyat dan akhirnya membawa kepada kejatuhan Muhiyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Situasi sebegini adalah tidak dialu-alukan  ketika rakyat sedang berhadapan cabaran pandemik covid-19 dan bergelumang dengan isu ekonomi yang sukar dan mereka mahukan kestabilan politik, pemulihan ekonomi untuk kemakmuran negara. Sebenarnya keabsahan PM menerusi sokongan majoriti perlu dibuktikan  di Dewan Rakyat dan  tidaklah memadai  hanya menggunakan akuan berkanun  (SD) walaupun selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Di-Pertuan Agong.

Proses dan prosedur ini bukanlah menunjukkan penderhakaan atau meragui kuasa Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya satu kewajipan dan melangsaikan hak Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Urusan ini di luar bidang kuasa peguam negara dan Perdana Menteri, kerana usul datang dari Ahli Dewan Rakyat atau parti dan perkara ini merupakan proses politik. Tambahan pula, hal ini bersesuaian dengan titah Yang Dipertuan Agong pada sebelum ini,  dan perlulah dilunaskan.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).

Continue Reading

Previous: Waris allahyarham Saufi terima Faedah Orang Tanggungan
Next: Projek lewat akibat pandemik Covid-19

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.