
SIBU: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menegaskan kepentingan mengekalkan budaya politik Sarawak yang unik serta menyeru agar gaya politik dari Semenanjung tidak dibawa masuk ke negeri ini demi menjamin kestabilan politik yang telah lama dikecapi.
Beliau berkata kestabilan politik yang dinikmati di Sarawak selama ini telah menjadi asas kukuh kepada pelaksanaan pelbagai projek pembangunan berskala besar berbanding enam dekad lalu.
“Sarawak kini berada dalam fasa pembinaan negara bangsa dengan pelbagai inisiatif pembangunan menggunakan dana kerajaan negeri. Ini termasuk pembinaan 16 jambatan, dengan 10 daripadanya telah siap,” katanya semasa berucap dalam Majlis Ngiling Bidai 2025 anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) serta sambutan Ulang Tahun ke-66 parti itu di sini hari ini.
Beliau berkata perpaduan yang utuh menjadi tunjang utama kejayaan Sarawak dan perlu terus dipelihara, terutama dalam konteks politik yang berbeza daripada di Semenanjung.
“Dahulu orang di Semenanjung memandang rendah kepada kita, kini mereka memandang tinggi. Di sana, mereka sendiri tidak tahu siapa kawan dan siapa lawan, hingga berlaku perpecahan dan konflik dalaman.
“Sebab itu kita tidak boleh bawa budaya politik Semenanjung ke sini. Sebaliknya, budaya politik Sarawak yang mementingkan perpaduan wajar dijadikan contoh,” katanya.
Menyentuh mengenai SUPP, beliau berkata parti itu telah melalui pelbagai cabaran sepanjang 66 tahun penubuhannya dan kini kekal sebagai parti berbilang kaum yang mendapat sokongan kukuh.
“SUPP bukan sahaja parti pertama di Sarawak, malah telah lama menjalin kerjasama politik bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), selain turut disertai Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dalam satu gabungan yang stabil,” katanya.
Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan ahli parti agar berwaspada terhadap ancaman dalaman yang diibaratkan sebagai ‘anai-anai’ yang boleh menggugat kestabilan parti.
“Kita mahu terus berkembang dan berdiri lebih teguh menjelang 2030. Kita perlu melihat gambaran yang lebih besar dan terus mengekalkan perpaduan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai kawasan Bawang Assan yang disifatkannya telah lama ketinggalan dari segi pembangunan.
Namun, katanya perancangan yang dibawa oleh Ketua Pemuda SUPP Pusat Kaunselor Kevin Lau, seorang pemimpin muda yang komited dan penuh idea telah mula membuahkan hasil.
“Antaranya ialah cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Tebing Barat Sibu dengan pusat bandar Sibu yang telah diluluskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan akan dibiayai oleh kerajaan negeri,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk atas sokongan terhadap Kaunselor Kevin Lau dan berharap ia diteruskan bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Oleh Tarani Lanting