KETIKA matlamat pembangunan milinium dirancangkan, masih terdapat isu kematian ibu bersalin. Matlamat ‘Memperbaiki Kesihatan Ibu Bersalin’ dijadikan matlamat kelima Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pembangunan milenium.
Dianggarkan lebih setengah juta wanita meninggal dunia akibat komplikasi kehamilan dan melahirkan anak setiap tahun di seluruh dunia. Perkara ini berlaku khususnya di negara membangun dan kurang maju. Hal ini disebabkan oleh masalah diet yang tidak mencukupi atau khasiat makanan terabai, isu kesedaran asas mengenai kesihatan berkenaan aspek mengandung dan melahirkan anak. Ia juga diakibatkan oleh faktor sanitasi dan kemudahan air bersih, kebuluran dan kekurangan zat makanan yang memberikan sumbangan 80 peratus kematian ibu.
Justeru, kesihatan ibu difokuskan kepada aspek peningkatan wanita kepada sumber yang sihat dan pendapatan dinamik, perhatian terhadap aspek pemakanan, dan memastikan wanita mampu memperoleh penjagaan kesihatan pendidikan dan perkhidmatan sosial, sesuai dengan tahap kesihatan global.
Aspek yang ditekankan termasuk kalangan wanita di luar bandar, aspek pendidikan pemakanan di sekolah bagi tujuan penjagaan kesihatan dan kesedaran. Wanita juga perlu memastikan bebanan kerja yang tidak berat, mengelakkan kehaliman yang kerap, diet yang betul agar tidak menjejaskan kesihatan wanita.
Di Malaysia, sasaran pada 1990 dan 2015 agar dapat menurunkan dua pertiga nisbah kematian ibu bersalin. Pada 1970, kadar kematian ibu bersalin bagi setiap 100,000 orang ialah 140.0 (1970) 44 (1991), 2009 (28.0), 2019 (21.1). Hal ini bermakna sasaran menurunkan dua pertiga nisbah kematian wanita pada 2015 tidak tercapai kerana tidak mencapai 11.0 pada 2015.
Mencegah HIV/Aids, Malaria dan lain-lain penyakit
Matlamat Pembangunan Milenium juga menyasarkan usaha untuk menghentikan dan seterusnya membasmi kejadian malaria dan lain-lain penyakit utama menjelang 2015. Aspek ini disasarkan kerana penyakit seumpama itu mampu memberi kesan terhadap pembangunan luar bandar, produktiviti pertanian dan keselamatan makanan dan pemakanan menurut PBB.
Faktor persekitaran kurang bersih atau pengabaian persekitaran mencetuskan malaria, penyakit lain berpunca daripada pemakanan kurang berkhasiat dan ketidaksesuaian makanan.
Dalam konteks Malaysia berjaya menyasarkan usaha pembasmian malaria pada 2019 dengan mencapai tahap sifar. Walaupun pada tahun akan datang memerlukan kesinambungan penjagaan persekitaran yang lebih bersih termasuk dalam sektor peladangan, perhutanan, pertanian, kawalan keselamatan dan rekreasi hutan agar perlindungan kepada pekerja dapat dipertingkatkan.
Ini termasuk kepada membekalkan kelambu berubat atau ubat pencegahan jangkitan malaria kepada pekerja. Akses kepada perkhidmatan kesihatan kepada pekerja asing dan tempatan juga sentiasa diberikan perhatian.
Begitu juga usaha menurunkan kes Human Immunodeficiency Virus (HIV) berjaya diturunkan pada kadar 9.31 bagi setiap 100 000 penduduk pada 2020 melalui kempen pencegahan, kawalan, rawatan dan jagaan.
Namun, usaha menghentikan secara total belum lagi dapat dikawal. Begitu juga penyakit Aids yang perlu kempen lebih menyeluruh dan gaya hidup yang sihat. Namun hidup lebih lama kurang bermakna sekiranya hidup kurang sihat walaupun purata jangka hayat semakin meningkat.
Taraf kesihatan rakyat perlu lebih sihat memandangkan terdapat masalah kesihatan melanda termasuk penyakit diabetes, sakit jantung, penyakit mental, sakit belakang, kanser dan sebagainya. Oleh itu. perlu diberikan fokus mengenai kadaan hidup yang lebih sihat.
Kelestarian alam sekitar
Matlamat Pembangunan ketujuh ialah memastikan alam sekitar yang lestari. Selepas isu perhutanan dan alam sekitar terjejas akibat manusia termasuk pembalakan haram dan penerokaan hutan besar-besaran, usaha pembangunan lestari dan memastikan sumber alam sekitar dapat dipelihara dan dipulihara. Pengurusan sumber asli dan ekosistem dititikberatkan agar keperluan makanan, alam sekitar, ekonomi, sosial dan sebagainya tidak terjejas.
Menurut PBB, terdapat empat sasaran untuk capai matlamat ini iaitu:
• Mengintegrasikan prinsip pembangunan lestari ke dalam dasar dan program negara serta cuba mengembalikan atau menebus semula sumber alam sekitar;
• Mengurangkan kadar kehilangan biodiversiti menjelang 2010 dengan kadar lebih ketara;
• Menyasarkan pengurangan separuh masalah penduduk tanpa akses kepada air minuman yang selamat dan sanitasi asas menjelang 2015;
• Menjelang 2020 mahukan pencapaian atau peningkatan ketara dalam menangani kehidupan 100 juta penduduk setinggan.
Terdapat empat kelestarian alam sekitar, iaitu aspek manusia, sosial, ekonomi, dan alam sekitar yang dikenali sebagai tonggak kelestarian alam. Aspek ini mempengaruhi perubahan cuaca dunia. Bagi kelestarian alam sekitar, isu air bersih dan sanitasi perlu diberikan perhatian dan mengelakkan pembaziran sumber. Pemanasasan global berpunca daripada tindak-tanduk dan sikap manusia terhadap alam sekitar dan beri kesan terhadap iklim dunia.
Elak penggunaan beg plastik atau bahan tercemar boleh menyelamatkan alam sekitar terutama kehidupan di bawah air manakala menanam pokok dapat menjadikan alam sekitar lebih bersih dan terpelihara.
Dasar kerajaan Sarawak mempromosikan tenaga hijau dan teknologi telah menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan menarik kepada negara maju untuk melabur. Teknologi hijau semulajadi seperti hutan, sungai, hujan dan cahaya matahari boleh menjana tenaga solar. Hal ini sesuai untuk menghadapi perubahan iklim dunia dengan mengurangkan pelepasan karbon dan penyahkarbonan.
Ekonomi hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui adalah keutamaan dan ekonomi masa depan dunia yang kini dijadikan landasan kerajaan Sarawak. Maka, kesejahteraan individu, komuniti, alam sekitar dan ekonomi sejahtera dapat diterapkan.
Mewujudkan perkongsian global untuk pembangunan
Matlamat kelapan, Matlamat Pembangunan Milenium ialah mewujudkan perkongsian global untuk pembangunan dengan cara bekerjasama dengan pihak swasta, menyediakan kemudahan teknologi baru terutamanya berkaitan dengan komunikasi dan maklumat. Tujuan untuk membantu negara kurang maju dan negara membangunan, agar sistem kewangan dan perdagangan, teknologi maklumat semakin berkesan kalangan rakyat dan negara.
Berdasarkan matlamat PBB ini, maka disasarkan enam sasaran, iaitu:
• Membangunkan lagi sistem perdagangan dan kewangan yang terbuka, berasaskan peraturan, boleh diramal, tanpa diskriminasi;
• Menangani keperluan khas negara kurang maju;
• Menangani keperluan khas negara membangun yang ‘terkurung’ daratan dan negara membangun pulau kecil;
• Menangani secara menyeluruh masalah hutang negara membangun;
• Dengan kerjasama syarikat farmaseutikal, sediakan akses kepada ubat penting yang berpatutan di negara membangun;
• Dengan kerjasama sektor swasta, sediakan manfaat teknologi baharu, terutamanya maklumat dan komunikasi
Kesemua aspek ini diberikan perhatian oleh Malaysia dan kerajaan negeri Sarawak juga memastikan usaha bekerjasama dengan pihak swasta, menyediakan kemudahan teknologi baru terutamanya berkaitan dengan komunikasi dan maklumat dijadikan teras gerak kerja nasional dan negeri khususnya bagi mempercepakan lagi kadar penembusan jalur lebar khususnya lebih cepat.
Malaysia pada 2020 mencapai 88 peratus dan Sarawak 88.2 peratus (4G) penggunaan internet. Jumlah ini boleh dibanggakan namun belum dapat setanding dengan negara Ireland, Norway, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sudah mencapai 99 peratus.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)