
ROBAN: Kesihatan dijadikan keutamaan dalam semua rancangan pembangunan kerajaan dan agensi melalui pendekatan dalam pelaksanaan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata penglibatan menyeluruh semua pihak sama ada agensi kerajaan, bukan kerajaan, swasta dan rakyat adalah penting untuk menjayakan ANMS dengan memainkan peranan masing-masing.

“Saya juga menggesa semua warga khususnya masyarakat di Krian agar membudayakan gaya hidup sihat dengan kekal aktif melakukan aktiviti fizikal, makan secara sihat, menjaga kesihatan mental serta mengamalkan kawalan kesihatan kendiri.
“Dengan tahap literasi kesihatan yang tinggi, rakyat bukan sahaja dapat membudayakan gaya hidup sihat malah mengurangkan risiko penyakit, mengurangkan kos rawatan dan pemulihan serta dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Jelajah ANMS Peringkat Parlimen Saratok bertempat di Rumah Julis, Tapang Ujan Ili, Mudong dekat sini semalam.
Friday berkata program ini mempunyai tujuan yang amat baik kepada masyarakat, di mana agensi-agensi yang terlibat boleh menyampaikan maklumat dan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan selain memaklumkan kepada masyarakat bertapa pentingnya menjaga kesihatan.
Oleh Adi Safarman