
LAWAS: Kesesakan lalu lintas berlaku di sepanjang Jalan Trusan–Lawas hingga ke pusat bandar Lawas pada hari pertama sesi persekolahan 2026, susulan kehadiran ramai ibubapa yang menghantar dan menguruskan pendaftaran anak masing-masing.
Tinjauan Utusan Sarawak mendapati kesesakan mula berlaku seawal 6.10 pagi, melibatkan laluan dari Banting hingga ke Bulatan Banting, dengan deretan kenderaan ibubapa yang menuju ke beberapa sekolah utama di kawasan berkenaan.
Kesesakan tersebut berlanjutan ke hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Lawas, Sekolah Kebangsaan Pusat Lawas dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lawas.
Pengetua SMK Lawas, Muhsen Haji Anuar, berkata keadaan itu berlaku susulan peningkatan jumlah kenderaan pada hari pertama persekolahan, berikutan urusan pendaftaran serta pelbagai hal berkaitan persekolahan.

Menurut beliau, situasi tersebut lazim berlaku pada hari pertama persekolahan apabila ibubapa masih menyesuaikan diri dengan waktu sekolah dan laluan ke premis pendidikan.
“Ini hari pertama persekolahan dan ramai ibubapa ingin melihat sendiri keadaan sekolah serta laluan ke sini. Saya berharap perancangan masa yang lebih baik dapat dibuat bagi mengelakkan kesesakan seperti hari ini,” katanya ketika ditemui.
Bagi mengawal keadaan, pihak SMK Lawas menempatkan empat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi membantu kelancaran lalu lintas, selain pemantauan oleh Pegawai Perhubungan Sekolah SMK Lawas, Inspektor Justin Goan Boon Kiat.
Kesesakan paling teruk dilaporkan berlaku di hadapan SMK Lawas, dengan pergerakan kenderaan terjejas sehingga lebih satu kilometer dari arah Jalan Trusan ke Lawas.

Keadaan ini disebabkan kenderaan dari arah bandar terpaksa membuat pusingan U bagi menurunkan pelajar di hadapan sekolah, sekali gus menyekat laluan utama Jalan Trusan–Lawas.
Hasil pemantauan turut mendapati keperluan untuk melebarkan bahu jalan di kawasan berkenaan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas pada masa hadapan.
Secara keseluruhan, sesi persekolahan 2026 di daerah ini bermula dengan lancar walaupun berdepan cabaran kesesakan lalu lintas yang ketara pada hari pertama.
Oleh Adeng Edrus